Ahad,21 Disember 2014

Mensyukuri nikmat Allah

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

SEDAR atau tidak, di sekeliling kita terdapat pelbagai nikmat pemberian daripada Allah s.w.t kepada hamba-Nya. Tidak perlu meninjau jauh, lihat saja diri kita.

Allah mengurniakan hamba-Nya mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, mulut untuk berkata-kata, tangan untuk bekerja dan kaki untuk melangkah.

Semua itu adalah pemberian percuma daripada Allah s.w.t. Kelebihan yang dimiliki itu membolehkan kita hidup dengan selesa tanpa bantuan daripada orang lain.

Pernahkah setiap kali sedar daripada tidur, kita mengucapkan syukur?


Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Ada empat hal yang mana siapa saja yang dianugerahi empat hal itu, ia benar-benar dianugerahi kebaikan di dunia dan akhirat, iaitu hati yang selalu bersyukur, lidah yang selalu berzikir, jiwa yang sabar ketika terkena musibah dan isteri yang setia memelihara dirinya dan harta suaminya.” (Hadis riwayat Thabrani dan Baihaqi)


Mengikut Imam al-Jurjani dalam kitabnya, al-Tarifat, syukur adalah satu ungkapan atau penyataan kerana memperoleh nikmat, baik secara lisan, badan mahu pun dengan hati.

Imam al-Ghazali dalam bukunya Ihya’ Ulumuddin mendefinisikan syukur ialah memanfaatkan potensi anugerah yang Allah berikan bagi terlaksananya amal kebaikan dan tercegahnya kemungkaran.

Mengucap syukur adalah tanda kita ingat kepada Allah dan berterima kasih atas nikmat kurniaan-Nya yang tidak pernah putus kepada kita semua.

Tidak kira sama ada banyak atau sedikit, kita wajib mengucap syukur kepada Allah s.w.t.

Daripada An-Nu’man Ibnu Basyir meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa tidak mensyukuri yang sedikit, bererti tidak mampu mensyukuri yang banyak dan barang siapa tidak berterima kasih kepada orang lain, bererti dia tidak bersyukur kepada Allah.” (Riwayat Ahmad).

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Menyebut nikmat Allah adalah bersyukur dan meninggalkannya adalah kufur.” (Riwayat Ahmad)
Terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan bagi menzahirkan rasa syukur kita kepada Allah. Selain memuji-Nya atas apa yang diberikan, sewajarnya kita menerima dan menggunakan nikmat itu untuk perkara yang diredai-Nya.

Contohnya, gunakan kudrat tangan kita untuk melakukan kerja kebajikan yang mendatangkan manfaat serta kesejahteraan agama keluarga dan masyarakat.

Kita perlu mempamerkan ketaatan dengan menunaikan solat fardu lima waktu serta menjauhi diri daripada perkara maksiat dan mungkar.

Nikmat pemberian Allah tidak akan sesekali terhenti. Yang pasti, Allah berjanji akan menambah nikmat kepada kepada hamba-Nya yang bersyukur.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya aku akan tambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka pasti azab-Ku amat berat.” (Surah Ibrahim ayat 7)

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/19
`