Sabtu,25 Oktober 2014

Masalah keluar darah berterusan

SAYA berusia 30 tahun dan melahirkan anak pada No­vember 2011 secara normal.

Untuk pengetahuan doktor, bayi saya tidak cukup bulan. Ketika dilahirkan beratnya 1.55 kilogram dan berusia 31 minggu. Masalahnya kini, saya baru mengambil pil perancang Mercilon pada Februari lalu dan pada hari pertama, saya didatangi haid.

Selepas habis haid, saya bersama suami tetapi saya berasa sakit dan keluar darah jernih dan berterusan hingga kini walaupun saya tidak bersama dengan suami.

Kadang-kadang darah berwarna coklat seperti darah terakhir haid dan berlendir. Saya juga berasa basah pada seluar dalam, membuatkan saya tidak selesa.

Saya ingin bersolat tetapi ragu-ragu kerana keadaan saya ini seperti tidak bersih. Adakah ini disebabkan saya mengambil pil perancang terbabit? Saya harap doktor dapat membantu saya.

NOR AZIMAH,
Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.



Eloklah anda berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan dalaman menggunakan alat spekulum terutama untuk melihat keadaan permukaan pintu rahim (serviks) dan juga faraj.

Radang pada permukaan serviks, ektropion serviks adalah antara keadaan yang boleh menyebabkan pendarahan oleh sentuhan (termasuk oleh hubungan seks). Pada masa sama, ujian Pap smear dapat dilakukan ke atas pintu rahim.

Pil perancang jarang menyebabkan keadaan pendarahan tidak teratur ini. Malah, pil perancang tersenarai kegunaannya untuk mengatur haid. Dalam erti kata lain, pil perancang digunakan dalam rawatan untuk menjadikan haid teratur.

Cuma ada beberapa kemungkinan iaitu anda mungkin terlupa mengambilnya mengikut aturan waktu atau mengalami masalah serapan usus sehingga kandungan hormon pil tidak konsisten dan menyebabkan ‘haid’.

Selain itu, bagi wanita yang mengalami masalah haid sedemikian, mungkin lebih sesuai untuk mengambil pil perancang golongan dos rendah. Untuk makluman, pil perancang yang anda ambil berkategori dos ultra-rendah.

Harus diingat, sesuatu ubat eloklah diberikan seboleh mungkin dalam dos yang paling rendah yang masih dapat memberikan kesan tetapi pada masa sama mempunyai kemungkinan kesan sampingan yang paling rendah bagi seseorang.

Berbincanglah dengan doktor anda sewaktu menjalani pemeriksaan dalaman terbabit. Terdapat kemusykilan dalam penyataan anda. Anda memulakan pengambilan pil perancang berkenaan dan pada hari pertama, anda didatangi haid.

Lazimnya pengambilan pil perancang bermula pada mana-mana hari pertama hingga hari kelima. Ini bermakna anda perlu menunggu haid terlebih dulu sebelum memulakan pengambilannya. Penyataan anda seolah-olah anda memulakan pil perancang dan secara kebetulan selepas itu anda didatangi haid pada hari yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/08
`