Khamis,23 Oktober 2014

Mangsa rompakan di Kuching, Sarawak disiasat polis kerana buat laporan palsu

KUCHING: Gara-gara membuat laporan palsu bahawa wang tunai RM5,000 miliknya dirompak dua anggota polis, seorang penyelia stor kini disiasat polis.

Dalam insiden itu, lelaki berusia 42 tahun terbabit mendakwa wang berkenaan, kad pengenalan dan kad ATM miliknya dilarikan dua lelaki bermotosikal di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di sini pada 8.50 pagi semalam. "Mangsa" mendakwa kedua-dua lelaki yang berjaket hitam dan berkemeja-T dengan logo polis itu mengacukan sesuatu menyerupai pistol ke pinggangnya, sebelum melarikan duit itu yang didakwa diletakkan dalam sampul surat.


Lelaki itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Padungan di sini kira-kira 10 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mun Kock Keong yang mengesahkan kejadian itu berkata, lelaki terbabit bagaimanapun mengaku membuat laporan palsu seelpas disoal siasat.


"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu, yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya," katanya.


Beliau berkata kes itu akan dirujuk kepada Peguam Kanan Persekutuan untuk tindakan lanjut. -Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2010/11/23
`