Ahad,26 Oktober 2014

Malaysia hab industri pembinaan kapal kecil

Langkawi: Malaysia dijangka muncul peserta utama industri pembinaan dan baik pulih kapal bersaiz kecil dan sederhana global menjelang 2020 bersandarkan kepada kelancaran pelaksanaan rancangan serta strategi digariskan dalam Rancangan Strategi Pembinaan dan Baik Pulih Kapal Malaysia 2020 (SBSR 2020) sejak dilancarkan dua tahun lalu.

Naib Presiden Kanan Bahagian Perisikan Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia Bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), Datuk Ir Kamarulzaman Zainal berkata, strategi negara memberi tumpuan khusus kepada pembangunan kapal bersaiz kurang 120 meter terutamanya jenis kapal sokongan pesisir (OSV), bertujuan memanfaatkan aktiviti berkaitan minyak dan gas di perairan serantau.


“Aktiviti ini dijangka lebih pesat dalam jangka sederhana susulan komitmen perbelanjaan modal melebihi RM180 bilion di kalangan peserta industri minyak dan gas. “Malaysia memerlukan sekitar 200 unit OSV pelbagai kategori untuk menyokong aktiviti minyak dan gas PETRONAS dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya dalam satu temubual di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2013 (LIMA ’13) di Langkawi, Kedah.

Beliau berkata, kapal bersaiz kecil seperti tongkang, bot penunda dan bot bersaiz kecil lain mendominasi aktiviti pembinaan kapal pada 2011, menyumbang 74 peratus daripada 283 kapal dikeluarkan bernilai RM1.37 bilion.


“OSV mewakili hanya 10 peratus pembinaan kapal baru pada tahun itu menyumbang RM2.25 bilion.


“Kami tidak membangunkan kapal bersaiz besar kerana beberapa faktor, antaranya persaingan syarikat gergasi dari Korea dan Jepun yang mendominasi segmen itu, selain ia selari pembangunan aktiviti pesisir pantai minyak dan gas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/01

Artikel Lain

`