Sabtu,22 November 2014

Lubuk baju saiz besar

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

SUKAR memiliki baju ber­saiz besar dan kebanyakannya pula menampilkan rekaan lama membuatkan sesetengah wanita kurang berkeyakinan.

Kesannya, mereka mungkin tidak selesa dan kurang yakin apabila terpaksa menahan keinginan untuk kelihatan cantik di hadapan orang lain.

Jika dilihat, rekaan untuk mereka yang berbadan besar kini semakin banyak dipasarkan, tidak kira mengikut trend terkini atau sebaliknya, namun mereka harus bijak memilih kesesuaian gaya mengikut potongan badan.

Pengalaman sama pernah dirasai oleh pemilik butik Raynaa, Nur Farihah Ismail yang berasa sukar untuk mendapatkan pakaian mengikut saiz diri, selesa dipakai dan mengikut trend terkini.


Kecewa dengan keadaan itu, Nur Farihah mengorak langkah untuk berkongsi koleksi yang dihasilkannya sendiri bersama wanita bersaiz besar yang lain.


“Sebenarnya, saya gemar membeli koleksi pakaian secara dalam talian kerana lebih mudah dan tidak perlu bersusah payah ke kedai mendapatkannya.

“Namun malangnya, saya dapati kebanyakan penjual dalam talian lebih memberi fokus kepada koleksi pakaian untuk mereka yang berbadan langsing,” katanya.

Disebabkan itu, dia mencari alternatif untuk mencari dan mencipta rekaan sendiri bagi memberi kepuasan dalam bergaya.

Menampilkan koleksi kasual, formal hinggalah eksekutif, semuanya dijahit sendiri selain himpunan dari Korea dan Vietnam yang dirasakan sesuai untuk mereka yang berbadan besar.

“Bagi mengetahui apa yang dikehendaki mereka yang bersaiz besar, saya banyak membuat ulang kaji setelah perniagaan menukar nama daripada kedaipanas.blogspot kepada raynaa.my,” katanya ketika ditemui di Azya’ Bazaar, baru-baru ini.

Baru pertama kali menyertai bazar seperti itu, Nur Farihah akui ia peluang yang baik untuk pemilik butik secara dalam talian seperti dirinya membantu dan memperkenalkan koleksi kepada pelanggan secara langsung.

Sementara itu, menurut pemilik SS Collection, Siti Balkhis Mohd Noor yang bermula ­dengan hanya menjual selendang dan tudung pada 2011, kini permintaannya begitu menggalakkan.

Mahu berjinak-jinak dalam dunia perniagaan, Siti Balkhis mula menjalankan usaha secara dalam talian bagi memperkenal­kan koleksinya. Setelah yakin dan berpuas hati, dia mengorak langkah dengan membuka butik untuk menempatkan lebih banyak koleksi.

“Dulu saya hanya menjalankan perniagaan dalam talian sepenuh masa dan setelah membuka butik, komitmen kian bertambah.

“Setelah sibuk dan membuka butik, saya mengambil keputusan berhenti kerja untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang ini. Saya gembira kerana sekarang saya mula menghasilkan rekaan sendiri untuk tampil berbeza daripada koleksi di pasaran,” katanya yang mendapati fesyen terkini daripada fabrik sifon begitu popular digayakan.

Padanya, wanita Muslimah kini dilihat mementingkan gaya tetapi masih mengekalkan kesopanan dalam penampilan.

Bagi memudahkan pelanggan mendapatkan koleksi lengkap untuk bergaya, dia menjadikan butiknya sebagai pusat fesyen untuk wanita, lelaki dan kanak-kanak mencari pakaian digemari.

Walaupun masih setahun jagung dalam dunia perniagaan, Siti Balkhis mencari pengalaman baru dengan menyertai bazar terbabit untuk membuka gerai dan memperkenalkan koleksi dimiliki.

Dia percaya, pengalaman yang dikutip semasa mengikuti bazar berkenaan banyak mengajarnya agar bersedia dalam menghadapi pelbagai cabaran untuk bersaing secara sihat.

Pengalaman membuka gerai untuk pertama kali itu mengundang pelbagai rasa malah sedikit kelam kabut membuat persiapan. Namun, dia lega kerana sepupunya, Nur Aisyah, pemilik butik dalam talian, House of Abaya, turut membantu.

Bertempat di The Strand Encorp, Kota Damansara, idea mengadakan bazar berkenaan dicetuskan oleh Elyna Effendi. Ia menampilkan hampir 30 pemilik butik yang menyewa tapak bagi menjual barangan mereka secara langsung kepada pelanggan.

Bazar yang diadakan pada 2 dan 3 Jun lalu meliputi lebih 70 peratus pemilik gerai secara dalam talian manakala 30 peratus lagi terdiri daripada jenama fesyen Muslimah yang tidak asing di negara ini.

Kolaborasi pertama yang menghimpunkan jenama di alam maya dan butik itu dilakukan sebagai usaha yang baik bagi memeriahkan lagi industri fesyen hijab yang semakin mendapat tempat di hati remaja dan wanita Muslimah masa kini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/06/14

Artikel Lain

`