Ahad,26 Oktober 2014

Leuniey suntik semangat Apek

KOTA BHARU: Penjaga gol kebangsaan dan Kelantan, Khairul Fahmi Che’ Mat, 23 yakin prestasinya sebagai pemain bola sepak akan lebih cemerlang kerana mempunyai isteri yang pastinya memberikan suntikan semangat kepadanya.

Khairul Fahmi atau Apek yang bergelar suami kepada Nur Eilunie Natasha Jaafar atau Leuniey, 21, Jumaat lalu, berkata walaupun ketika Piala AFF Suzuki sebelum ini dia hanya menjadi pemain simpanan, ia bukan alasan untuk dia berasa terpinggir.


“Saya tidak pernah berasa terpinggir walaupun hanya menjadi pemain simpanan pada perlawanan Piala Suzuki AFF yang lalu.

“Saya yakin akan menerima suntikan semangat lebih hebat daripada isteri untuk bermain lebih cemerlang berbanding sebelum ini, sama ada untuk pasukan Kelantan atau kebangsaan,” katanya selepas majlis resepsi perkahwinannya di sini, malam kelmarin.


Majlis yang berlangsung dalam suasana meriah itu dihadiri kira-kira 1,000 tetamu.


Antara yang hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim; Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapa; Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan pasangan suami isteri yang juga pelakon, Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya.

Menurut Apek, dia akan terus memberi tumpuan kepada kerjayanya sebagai pemain bola sepak, tetapi pada masa sama tetap memberi perhatian kepada isterinya.


Sementara itu, Leuniey berkata, dia tidak kisah jika tidak berkesempatan berbulan madu kerana dia perlu berkorban serta menyokong kerjaya suaminya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/01
`