Sabtu,20 Disember 2014

Kultura atasi penyakit cili

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Projek penanaman cili yang diusahakan secara ladang memberi pulangan lumayan kepada petani, berikutan permintaan terhadap sayuran berkenaan sentiasa tidak mencukupi.

Secara umumnya, ada tiga jenis cili ditanam di negara ini seperti cili merah, benggala dan cili padi, namun cili merah menjadi komoditi utama membabitkan keluasan 4,000 hektar persegi.

Cili yang sering digunakan dalam masakan sebenarnya berasal dari Bolivia, hasil pelayaran Christopher Columbus mencari rempah ratus sekitar 1492.

Biarpun tersasar dari laluannya, persinggahan Christopher ke Amerika Selatan membawa pulang bersama sejenis sayuran hijau dan merah yang menjadi santapan penduduk tempatan ketika itu.


Sifat semula jadinya yang pedas sesuai dijadikan pemanas badan, menarik minat Christopher dan kelasi­nya membawa pulang cili ke negara mereka sebelum disebarkan kepada penduduk dunia termasuk benua Asia.


Itu antara sejarah cili yang dikongsi Timbalan Pengarah merangkap Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan, Program Pengurusan Perosak dan Penyakit, Pusat Penyelidikan Hortikultur MARDI, Dr Mohamad Roff Mohd Noor.

Pengalaman luasnya menguruskan cili dan sayuran lain di Stesen Pe­nyelidikan MARDI di Jalan Kebun, Klang, sekitar 80-an menjadikan dirinya begitu arif mengenai penyakit tanaman.

Berbekalkan sebatang pen dan kertas putih, Dr Mohamad Roff tekun memberikan penerangan kepada penulis mengenai penyakit cili dan serangga perosak.

Menurutnya, cili atau nama saintifiknya capsicum annuum daripada keluarga solanaceae tidak terkecuali menerima serangan pe­nyakit dan serangga perosak pada buah, daun dan akar.

“Serangga perosak tanaman cili seperti lalat buah, ulat pengorek buah, hama dan tikus menyerang buah cili, manakala yang me­nyerang daun dan pucuk pula adalah kutu daun atau afid, kutu trip, lalat putih dan hama.

“Cengkerik dan anai-anai pula antara serangga yang menyerang bahagian akar pokok cili,” kata pemegang ijazah Doktor Falsafah (PhD), University of Reading, United Kingdom (UK) dalam bidang Virologi Tanaman.

Beliau berkata, daripada semua jenis serangga berkenaan, kutu daun, kutu trip dan lalat putih adalah tiga serangga perosak utama yang kerap menyerang tanaman cili.

“Tikus tidak terkecuali menyerang tanaman, jika petani tidak menjaga kebersihan ladang. Ia suka kepada sayur, cili, tomato, jagung dan kacang panjang,” katanya.

Menurutnya, kutu daun, kutu trip dan lalat putih merosakkan pokok cili secara langsung dan tidak langsung.

“Cara serangga ini merosakkan pokok secara langsung adalah ia akan duduk di bawah daun cili dan menghisap air tanaman. Jika serangga ini terlampau banyak, ia boleh menyebab­kan pokok kecil menjadi layu.

“Manakala kerosakan secara tidak langsung adalah penyebaran penyakit virus. Pokok yang berpenyakit biasanya akan dipindahkan oleh serangga yang terbang ke pokok sihat,” katanya.

Katanya, selain itu lalat buah turut menyerang cili dengan cara mengorek buah menyebabkan ia menjadi busuk manakala hama pula mengikis bahagian sayuran hingga permukaannya berwarna coklat.

Sehubungan itu, beliau berkata, pengawalan lalat buah dan ulat pengorek penting dalam memastikan hasil cili dapat dipasarkan.

“Pokok cili yang bantut, berdaun kecil, menggerutu dan berbelak-belak, selain buah dihasilkan kecil menunjukkan ia sudah dijang­kiti virus. Ciri seperti itu menunjukkan virus sudah ada dalam pokok cili.

“Kehadiran lalat buah betina turut mengancam tanaman cili. Ini kerana lalat buah betina akan menyuntik telur ke dalam buah cili.

“Telur yang menetas pula akan makan bahagian buah cili menyebabkan ia menjadi busuk,” katanya.

Dr Mohamad Roff berkata, kawalan terhadap lalat buah dan ulat pengorek bukan saja menggunakan racun perosak, tapi kaedah lain seperti kawalan secara kultura, kaedah fizikal dan mekanikal serta kawalan biologi.

“Penggunaan plastik bersinar adalah kaedah pengawalan serangga secara kultura. Cahaya matahari dipantulkan oleh plastik mengandungi sinar UV yang bertindak menghalau serangga seperti kutu daun, kutu trip dan lalat putih.

“Plastik bersinar juga digunakan untuk mengawal rumput-rumpai, kawal baja daripada air larian, mengekalkan struktur tanah dan menstabilkan suhu tanah,” katanya.

Kaedah kultura boleh dipraktikkan menerusi teknik penanaman sayuran secara berselang seli mengikut barisan pokok.

“Kajian dilakukan mendapati, pokok yang diselangkan lebih daripada dua jenis tanaman menjadikan tanaman lebih baik. Ini dinamakan kejuruteraan ekologi dan setiap pokok seperti tomato, terung dan cili akan mengeluarkan bau berbeza.

“Secara semula jadi, serangga tertarik kepada bau dan warna. Apabila tiga kombinasi pokok diselang selikan, ia menyebabkan serangga keliru,” katanya.

Menurutnya, kaedah kawalan lain menggunakan kelambu seperti dipraktikkan petani di Johor dan Melaka, manakala secara mekanikal menggunakan perangkap, lampu, warna dan feromon.

“Penggunaan racun serangga saja tidak dapat mengawal lalat buah dengan berkesan tapi perlu dikombinasikan menggunakan perangkap feromon ‘methyl eugenol’ yang menarik lalat buah jantan,” katanya.

Bukan saja serangan serangga, cili juga berdepan penyakit buah, daun, akar dan pangkal pokok.

“Penyakit pada buahnya dikenali antraknos, pada daun pula penyakit virus, bintik daun cercospora dan penyakit hawar choanephora, manakala pada akar atau pangkal pokok seperti penyakit reput pangkal dan layu bakteria.

“Tiga kumpulan atau agen penyebar penyakit cili adalah kulat, virus dan bakteria,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16
`