Khamis,27 November 2014

Keropok lekor dieksport ke Arab Saudi, China

KEROPOK lekor Terengganu yang dihasilkan syarikat Bumiputera, Keropok House Dungun Gallery Interprise (KHDGI), bakal dieksport ke China dan Arab Saudi tidak lama lagi.

Pengurusnya, Zakiah Othman berkata, pihaknya diminta oleh pengedar untuk menghantar dua kontena, iaitu kira-kira 20 tan metrik keropok lekor sebulan ke kedua-dua negara terbabit.


“Sekarang ini, kalau mahu mengeksport keropok ke luar negara, perlu ada sijil halal. Memang melegakan apabila permohonan sijil halal dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) yang dipohon tiga bulan lalu sudah diperoleh,” katanya di Kuala Terengganu.

KHDGI juga mengeluarkan bebola ikan, nuget, sos pencecah keropok dan beberapa jenis barangan lain selain keropok lekor dan keropok kering.


Melalui bantuan modal RM187,000 daripada SME Corporation, beliau berkata KHDGI sudah membeli peralatan moden untuk membuat keropok di Kampung Kuala Abang.


Bengkel berkeluasan 50 x 100 kaki persegi itu adalah bekas bengkel ikan salai yang dibina pada 1974 sebelum dijadikan bengkel membuat keropok sekarang ini.

Sebelum mengusahakan keropok, Zakiah berkata beliau sudah mengusahakan ikan salai untuk dieksport ke Jepun.


Bagaimana pun, perusahaan dijalankan sejak 1982 itu tidak berpanjangan dan terpaksa ditutup kerana kekurangan bekalan ikan tongkol.

KHDGI sekarang bergantung kepada dua pengedar utamanya untuk mengedar keropok dan lain-lain produk ke luar Terengganu, iaitu Bidadari KLF (Keropok Lekor Frozen) dan Zuyyin Interprise. -Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2011/09/04
`