Rabu,22 Oktober 2014

Kereta baru beli 8 bulan ranap

Kuala Lumpur: “Saya berasa tidak sedap hati sebaik melihat pokok tumbang di kawasan parkir berhampiran flat kerana meletakkan kereta Perodua Viva di situ dan saya terkejut apabila mendapati kenderaan yang baru lapan bulan dibeli ranap dihempap pokok,” kata mekanik Wan Fadzil Roslan, 27, mangsa ribut di Flat Loke Yew, Jalan Hang Tuah, di sini, semalam.

Difahamkan, empat kenderaan termasuk milik Wan Fadzil ranap dihempap pokok tumbang di flat berkenaan ketika hujan lebat dan angin kencang yang melanda ibu negara hampir sejam mulai jam 5.30 petang.


Menurut Wan Fadzil, dia baru sampai ke flat berkenaan jam 8 malam untuk pulang ke rumah dari tempat kerja di Kampung Pandan menaiki motosikal apabila mendapati ada pokok tumbang akibat ribut di kawasan parkir.

“Mulanya saya tidak mengesyaki kereta saya terbabit kejadian itu, tetapi segera membuat pemeriksaan di kawasan parkir kerana tidak sedap hati.


“Saya terkejut apabila mendapati kereta saya antara yang ranap,” katanya ketika ditemui.


Sementara itu, pasukan kecemasan Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tiba di tempat kejadian selepas dihubungi mengambil masa lebih sejam untuk melakukan kerja pemotongan pokok dan pembersihan jalan.

Manakala, Skuad Penyelamat DBKL memaklumkan sehingga jam 8 malam tadi pihaknya menerima lebih daripada 10 laporan kejadian pokok tumbang termasuk empat kenderaan yang dihempap pokok di Flat Loke Yew.


“Pokok berkenaan tumbang selepas hujan lebat yang disusuli angin kencang selama hampir sejam,” katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14
`