Khamis,23 Oktober 2014

Kerat 14 bukan kisah Mona Fandey

Oleh Ramlah Zainal

JUDULNYA saja, Kerat 14 sudah mengerikan, belum lagi kita menonton tayangan filem ini apabila menjengah pawagam tempatan nanti. Itulah yang dapat digambarkan mengenai filem genre misteri, thriller dan aksi arahan pengarah muda berbakat besar, Arjin Uppal yang mewarisi bakat mengarah daripada bapanya, pengarah terkenal, S Baldev.

Lebih menarik, filem ini menggandingkan Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011, Aaron Aziz (watak Haziq) dan pelakon muda meningkat naik, Siti Saleha (Nur Zara) dalam filem terbitan White Merpati Entertainment ini.

Selain itu, ia dimantapkan lagi dengan penampilan Zamarul Hisyam (ASP Razman), Fouziah Gous (Sasha), Aurora Salwa (Inspektor Sofia), Arash Mohd (ASP Hamid) dan Afiq Zulhelmi.

Bagi pemegang ijazah dalam jurusan animasi, Arjin, 23, dan pernah menjadi penolong pengarah filem Akhirat, Kecoh Betul dan Rasuk arahan bapanya, filem itu menceritakan kejadian pembunuhan, sebab perkara itu terjadi dan apakah kesudahannya selepas itu.


“Saya dapat idea buat filem ini ketika menuntut di Sydney, Australia selama dua tahun. Saya bukan saja belajar untuk mendapat lesen menjadi juruterbang di sana, sebaliknya membuat kajian, penyelidikan dan proses suntingan mengenai filem yang juga bidang yang sangat diminati sejak dulu.


“Saya juga luangkan masa menonton 300 hingga 400 filem di sana kerana ingin mengkaji filem dihasilkan orang luar. Justeru, dari situlah saya dapat idea untuk menulis skrip filem Kerat 14 yang membabitkan 14 bahagian anggota tubuh manusia,” katanya.

Ditanya sama ada filem ini ada persamaan dengan kisah Mona Fandey yang menggemparkan negara satu ketika dulu, Arjin menafikannya sama sekali.

“Terus terang, cerita Kerat 14 tiada kaitan langsung dengan cerita Mona Fandey. Malah filem Kerat 14 mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa seperti polis dan Lembaga Penapisan Filem (LPF) tanpa sebarang potongan. Kami juga berbincang dengan pihak polis membabitkan kes berkaitan wanita sebelum ini.

“Walaupun ada babak badan dikerat tetapi kita tidak menunjukkan badan itu dikerat sepenuhnya kerana kita tidak ingin memaparkan keganasan yang berlaku,” katanya.

Akui Arjin, filem Kerat 14 ada kelainan berbanding kisah pembunuhan yang biasa ditonton di kaca TV.

“Paling menarik, kami akan tonjolkan kehebatan pihak polis ketika menjalankan proses soal siasat dan bermain dengan fikiran penjahat hingga mereka mengaku kesalahan dilakukan itu. Apa yang saya boleh katakan, filem ini juga berbeza daripada siri Gerak Khas yang ditayangkan di kaca TV,” katanya.

Selaku pengarah, Arjin juga tidak terkecuali menghadapi cabaran besar ketika mengarahkan filem itu.

“Cerita itu memaparkan kejadian yang berlaku dalam tempoh satu malam. Saya akui bukan mudah untuk mengarah filem ini kerana ia membabitkan ramai artis, pihak polis dan orang awam yang berada di lokasi penggambaran termasuk yang menyerbu artis kesayangan mereka hingga mengganggu tumpuan artis berlakon di lokasi.

“Apapun, penggambaran filem ini bermula 14 Januari dan berakhir 9 Februari lalu dan ia membabitkan lokasi sekitar Kuala Lumpur, Ampang, Melawati, Penjara Kajang dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor berjalan lancar seperti dirancang.

“Terima kasih kepada Ketua Polis Daerah Selangor, Datuk Hamzah yang memberi kerjasama baik sepanjang penggambaran di sana,” katanya.

Berkongsi pemilihan barisan pelakon pula, kata Arjin, ia dibuat menerusi uji bakat diadakan sebelum ini.

“Pemilihan Aaron sebagai watak utama memang sudah diputuskan sebelum dia ‘meletup’ dengan filem Ombak Rindu arahan Osman Ali lagi. Kami memang nampak Aaron paling tepat untuk membawa watak utama sebagai Haziq dalam filem ini.

“Watak Haziq berat kerana dia seorang pembunuh kejam yang mengerat mangsanya kepada 14 bahagian kerana tidak tahu cara terbaik untuk melupuskan bahan bukti,” katanya.

Ditanya gandingan Aaron dan Siti Saleha pula, Arjin percaya mereka memang ada keserasian sebagai pasangan kekasih kerana mereka pernah bergandingan dalam drama Nora Elena yang mendapat sambutan hangat dan melekat di hati peminat sampai hari ini.

“Pelakon lain pula seperti penyanyi Aurora Salwa dan pelakon baru, Ali Arami (watak Aril) pula dipilih melalui uji bakat,” katanya.

Lebih memberangsangkan, kata Arjin lagi, setakat ini, pihaknya mendapat maklum balas yang cukup menggalakkan daripada peminat yang menyukai filem Kerat 14 menerusi laman sosial facebook ketika ini.

“Rata-rata peminat cuba kaitkan filem ini dengan cerita Mona Fandey. Hakikatnya, ia tiada kaitan langsung dengan kes Mona Fandey.

“Saya juga melihat ‘trend’ pembikin filem sekarang menghasilkan filem adaptasi daripada novel popular. Cerita Kerat 14 pula memang idea yang segar dan kami gabungkan semua elemen iaitu thriller, misteri, aksi dan cinta dalam satu cerita. Kombinasi semua elemen inilah yang menjadi tarikan utama pada filem yang membabitkan kos sebanyak RM1.7 juta ini.

“Dari segi harapan pula, sudah pasti, saya mengharapkan filem ini dapat kutipan pecah panggung apabila menjengah pawagam tempatan nanti. Ia juga filem pertama arahan saya dan pasti saya beri yang terbaik pada filem ini. Mengikut perancangan, filem ini bakal ditayangkan di pawagam di Singapura dan Brunei Darussalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/17
`