Isnin,22 Disember 2014

Kenali perusahaan kerepek

SIAPAKAH seorang lagi pembaca bertuah akhbar Harian Metro bakal membawa pulang IPad Wi-Fi 16G minggu ini?

Seperti mana-mana episod disiarkan sebelum ini, mereka perlu memberi jawapan tepat soalan kuiz disertakan dan melengkapkan slogan Episod 5 dengan menonton Agro-Xplorasi pada jam 7.30 malam ini di TV3.


Penonton dibawa pengacara Annahita Bakavoli (Anna) dan Danny X-Factor meninjau perusahaan kerepek, keropok lekor dan otak-otak di Sepang dan Shah Alam, Selangor.

Dua perusahaan itu adalah Jamirah Food Industries (M) Sdn Bhd, Sepang dan Keropok House Trading di Shah Alam, Selangor.


Kata Danny, perusahaan kerepek, keropok dan otak-otak antara produk makanan kegemaran masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.


"Sebagai salah satu warisan makanan tradisional tempatan, tiga produk komersial ini disukai pelbagai golongan dan peringkat umur.

"Lebih menarik, perusahaan bukan saja memberikan peluang pekerjaan tetapi memanfaatkan tanah dan hasil laut bagi mendapatkan makanan berkhasiat.


"Kerepek sangat popular di mana-mana, sama juga seperti keropok lekor dan otak-otak. Dengan usaha sentiasa ditingkatkan pelbagai pihak dengan sokongan kerajaan, orang ramai kini boleh mendapatkan makanan popular itu di pasar raya, stesen minyak atau kedai runcit.

"Bidang pertanian memang menarik dan ada tarikan sendiri. Saya bangga kerana kerajaan sentiasa mengambil langkah proaktif membangunkan industri pertanian ke arah lebih moden, kompetitif dan dinamik.


"Pertanian berpotensi menjadi salah satu jentera pembangunan ekonomi negara. Saya harap golongan muda tertarik menjadi usahawan dan petani moden sebagai kerjaya masa depan," katanya.


Anna, tampil setiap episod bersama Danny atau Nazruddin Rahman (Naz) berkata, Episod 5 memberi gambaran baru terhadap perusahaan yang sebelum ini diusahakan secara kecil-kecilan.


"Bukan sekadar menikmati hasil bumi tetapi turut mengenali tanaman perniagaan. Misalnya, kulit ubi kayu tidak dibuang sebaliknya dijadikan makanan lembu dan najisnya dijadikan baja untuk proses penyuburan tanah bagi tanaman giliran seperti keledek," katanya.


"Dengan berkonsep mesra alam, strategi pemasaran, pembangunan teknologi dan pasaran baru membuatkan perusahaan berdaya maju.


"Bukan itu saja, bantuan dan khidmat nasihat diberikan pelbagai agensi pertanian turut memperbaiki prospek perniagaan diusahakan usahawan. Apapun, saya seronok kerana dapat merasai pengalaman baru dalam sektor pertanian yang sentiasa berkembang maju.


"Perusahaan otak-otak terbesar Malaysia di Shah Alam kini sudah dapat dihasilkan dengan cara moden. Ikan bukan saja penuh berkhasiat tetapi membekal sumber protein dan iodin yang baik untuk kesihatan.


"Makanan popular jamuan petang di perkampungan nelayan di Terengganu dan Johor sudah melalui teknik pembuatan lebih baik dan dipelbagaikan penyediaannya.


"Apa yang penting, proses pengilangan bersih dan terjamin. Apa saja perasaan teruja Agro-Xplorasi penonton saksikan, begitu juga perasaan kami alami di lokasi," katanya menimba pengalaman membungkus sendiri kerepek sebelum dipasarkan.


Penonton program juga berpeluang menyertai kuiz anjuran TV3 dan memenangi hadiah menarik seperti TV LCD Panasonic Viera 42 inci, telefon bimbit Nokia X6 serta iPad Wi-Fi 16G. Penonton perlu memberi beberapa jawapan tepat dipaparkan pada penghujung setiap episod. Majlis pelancaran Agro-Xplorasi itu disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar pada 18 Februari lalu di Sri Pentas, Bandar Utama.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/03/25
`