Ahad,26 Oktober 2014

Keluar darah setiap kali buang air kecil

SAYA dan isteri sudah berkahwin selama enam tahun dan kini, isteri saya hamil anak kami yang pertama. Masalah timbul apabila kehamilan memasuki bulan kelima iaitu darah keluar setiap kali isteri saya membuang air kecil.

Darah itu berwarna merah dan tidak berbau. Ada sedikit lendir pada darah yang keluar bersama air kencing. Untuk pengetahuan doktor, isteri saya penghidap diabetes dan mengambil insulin.

HASRIE,
Nusajaya.


BAGI penghidap diabetes terutamanya, kemungkinan masalah saluran kencing perlu diperiksa. Jangkitan air kencing (lazimnya di dalam pundi kencing), penyakit buah pinggang (contohnya peradangan glomerulo-nefritis) serta masalah batu karang boleh diselidiki menggunakan ujian mudah (ujian air kencing dan ujian darah berserta imbasan ultrabunyi).

Doktor juga akan memastikan punca pendarahan terbabit kerana kadangkala ia sebenarnya berpunca dari dalam faraj. Sebelum mengambil sampel air kencing, isteri anda dinasihatkan membilas kemaluan menggunakan air paip.

Hanya air kencing pertengahan saja yang dimasukkan ke dalam botol kerana air kencing awal dikhuatiri bercampur dengan lendir atau pendarahan faraj. Sampel ini akan diperiksa di bawah kanta mikroskop, sedikit sampel lain juga akan dikultur untuk melihat jika terdapat pertumbuhan kuman serta jenis antibiotik yang sesuai mahupun tidak sesuai dengannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/08/22
`