Rabu,29 Oktober 2014

Kejayaan IUI bergantung beberapa faktor

PADA 29 Disember 2011, saya ada melakukan rawatan permanian berhadas (IUI) tetapi ia tidak berjaya kerana saya didatangi haid pada 11 Januari lalu.

Kemudian, saya lakukan IUI sekali lagi pada 21 Mac lalu dan sehingga kini saya masih belum didatangi haid. Kali terakhir haid saya adalah pada 22 Februari lalu. Adakah keadaan ini menandakan saya hamil?

PUTRI KASIH,
Shah Alam, Selangor.


LAZIMNYA IUI dilakukan pada hari ovulasi dijang­kakan berlaku. Malah bagi membantu proses ovulasi, suntikan yang mengandu­ngi hormon hCG diberikan pada hari kantung atau folikel telur didapati matang saiznya (melalui pemantauan ultrabunyi trans-vaginal) dan ketebalan lapisan endometrium rahim sesuai.


Kira-kira 36 hingga 40 jam selepas suntikan ini diberikan, IUI dilakukan menggunakan sperma yang sudah diproses.

Fasa selepas ovulasi dinamakan fasa luteal. Tempoh fasa luteal ini lazimnya sekitar 14 hari saja dan tidak berubah. Sekiranya tiada kehamilan, haid akan keluar selepas tempoh terbabit, seperti yang berlaku selepas IUI pertama anda.

Anda tidak menyatakan berapa panjang julat kitaran haid anda tetapi mengambil kitaran haid sebelumnya sepanjang 42 hari (dikira bermula 11 Januari sehing­ga 21 Februari), ovulasi dijangkakan mungkin berlaku pada hari ke-28.

Cuma, lazimnya dalam kitaran IUI, ubat kesuburan diberikan dan ovulasi dijangka berlaku lebih awal sekitar hari ke-14 hingga ke-21, bergantung kepada respon ovari terhadap rangsangan terbabit.

Sekiranya pada 21 Mac itu berlakunya ovulasi, kehamilan dapat diuji menggunakan ujian darah seawal dua minggu berikutnya. Pada hari ini, anda sepatutnya sudah mendapat hasil keputusan IUI terbabit. Harus diingat, anda perlu mengambil kira sama ada diberikan suntikan yang mengandungi hormon hCG selepas IUI kerana ia boleh mengaburi keputusan kehamilan dengan memberikan hasil positif apabila dilakukan ujian lebih awal.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/08
`