Rabu,26 November 2014

Kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka ditampil dalam perbahasan sebagai iktibar

KUALA LUMPUR: Kisah kejatuhan kerajaan Melayu Melaka 500 tahun lalu ekoran perpecahan sesama pemimpin sehingga menyebabkan empayar Melayu terakhir itu akhirnya dijajah Portugis, diketengahkan dalam sesi perbahasan di Perhimpunan Agung Umno 2010 di sini hari ini.

Wakil dari Melaka, Datuk Mohd Said Yusof berkata, Umno sebagai parti Melayu terbesar perlu mengambil iktibar daripada kisah silam itu dan tidak mengulangi sikap hipokrit serta tamak kalangan pemimpin ketika itu.


"Kejatuhan kerajaan Melayu Melaka bukanlah kerana faktor kemodenan Portugis dengan meriam, pistol dan kapalnya... tapi sebab paling besar ialah kerana ketika itu masyarakat Melaka berpecah, pembesar-pembesar berpecah. Lebih-lebih lagi Sultan terakhir yang terlampau gilakan Tun Fatimah, tak ambil peduli hal rakyat," katanya ketika membahaskan dasar ucapan Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung Umno 2010, di sini hari ini.

"Saya harap kita ambil iktibar dan fikirkan peristiwa tahun 1511 itu kerana sejak itu orang Melayu cuba bangkit balik untuk perjuangkan merdeka... kerana penjajahan merendahkan martabat bangsa, mundur ilmu, dan membuatkan kita tak dapat bersuara," tambahnya.


Mohd Said seterusnya menasihati kalangan pemimpin Umno supaya bersikap rendah diri kerana beliau pernah menerima laporan mengenai sikap "ego dan suka menunjukkan kekayaan" oleh kalangan pemimpin ini, ketika mengunjungi rakyat.


Kita jangan beria-ria nak tunjuk (kekayaan). Ketika saya jadi Ketua Pemuda Jasin, saya tengok Allahyarham Tun Ghafar Baba (bekas Timbalan Perdana Menteri), bila dia datang masjid untuk sembahyang Jumaat, dia tak duduk di saf depan, dia duduk tepi tangga, tepi (tempat) orang ambil air sembahyang.. nak tunjuk punya rendah diri dia.

"Ni masuk kampung, tunjuk kita punya Porsche Cayenne, tunjuk kita punya baju kot mahal, mana orang kampung nak terima, silap-silap orang kampung tuduh kita makan rasuah," katanya.


Sementara itu, Pergerakan Pemuda Umno mencadangkan agar pimpinan Umno pusat memberi kuasa yang lebih kepada pergerakan Pemuda di peringkat bahagian dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Wakil pergerakan itu, Megat Zulkarnain Omardin berkata langkah itu dapat membantu Pemuda Umno untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan dalam menyalurkan bantuan rakyat secara lebih berkesan. "Kadangkala bila kita melawat rumah daif, keluarga yang sakit, hanya ambil data dan serahkan kepada agensi berkenaan, mereka (agensi) bekerja dengan baik tetapi kadangkala mereka terlepas pandang, yang dipersalahkan adalah Umno," katanya.


Megat Zulkarnain berkata, langkah itu penting supaya rakyat dapat merasai kehadiran Umno dalam menyelesaikan masalah mereka.


Beliau juga meminta kerajaan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang terus mempertikai hak istimewa orang Melayu yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.


Sementara itu, wakil Perhubungan Umno Perak, Datuk Shamsudin Abu Hassan pula mengemukakan formula tiga modal baru - modal budaya, modal upaya dan modal biaya yang perlu dilaksanakan kepimpinan untuk menambah keupayaan orang Melayu dalam penguasaan ekonomi.


"Jurang antara orang Melayu dan bukan Melayu dalam penguasaan ekonomi masih jauh, orang Melayu jauh tercicir dari segi ekonomi sekalipun berkuasa dalam politik. Bagaimana pula seandainya orang Melayu hilang kuasa politik?" katanya.


Menjelaskan formula itu, Shamsudin berkata modal budaya mendidik usahawan Melayu supaya bijak menggunakan segala peluang dan dana yang disalurkan.


Modal upaya pula melibatkan kekuatan dan keupayaan mental untuk menguasai bidang-bidang ekonomi tertentu manakala modal biaya merujuk kepada pembiayaan kewangan bagi membantu usahawan Melayu meneroka bidang-bidang baru," katanya.


-Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2010/10/21
`