Ahad,28 Disember 2014

Keadaan cuaca musim haji dijangka baik

JEDDAH: Jabatan Meteorologi dan Perlindungan Alam Sekitar (PME) membuka 40 pos pemerhatian bagi merekod faktor atmosfera yang dapat membantu ramalan tepat keadaan cuaca ketika musim haji.

Menurut kenyataan PME, keadaan cuaca untuk musim haji tahun ini dijangka baik. Tiada tanda hujan lebat atau ribut bakal melanda Makkah, tempat suci atau Jeddah. “Tiada tanda cuaca buruk bakal melanda musim haji tahun ini. Langit dijangka cerah kecuali mendung dengan gerimis dijangka pada tiga hari terakhir di Taif dan beberapa tempat suci,” kata Ketua Penolong Pusat Meteorologi Kebangsaan untuk pemerhatian alam sekitar, Saad Muhallafi dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, suhu di tempat suci dijangka mencatat 38 darjah Celsius pada paras tertinggi dan 21 darjah Celsius pada paras terendah.

Amaran mengenai perubahan cuaca di luar jangkaan akan turut dikeluarkan 48 jam lebih awal.


Menurut sumber jabatan berkenaan, sistem pemantauan automatik meliputi Makkah termasuk Masjidil Haram, Mina, Arafah, Lebuhraya Makkah-Jeddah, Madinah dan Taif. Lebih banyak pos pemerhatian automatik di Jeddah, Madinah dan di sepanjang keseluruhan laluan Laut Merah dari utara ke selatan juga sedang dirancang. PME juga sudah melancarkan portal baru bagi menyalurkan maklumat terkini laporan cuaca di Arafah, Mina, Muzdalifah, Makkah, Madinah dan Jeddah ketika musim haji.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/10/30

Artikel Lain

`