Khamis,23 Oktober 2014

Kanang anak Langkau meninggal dunia akibat serangan jantung

Oleh Alias Abd Rani

KUCHING: Pahlawan dan askar Malaysia terkenal, Temenggung Datuk Kanang anak Langkau menghembus nafas terakhir selepas rebah di rumahnya di Sungai Maong, di sini, akibat serangan jantung, pagi tadi.

Kanang, 68, disahkan meninggal dunia pada jam 1.45 pagi iaitu dua jam selepas dilaporkan rebah sebelum dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) menaiki ambulans.

Turut mengiringi jenazah mendiang di Rumah Mayat HUS, adalah isterinya, Datin Brawang Chonggop, 58, serta anak-anaknya.

Beliau dilahirkan di Julau, Sarawak, menyertai perkhidmatan Renjer Sarawak sebagai Pengesan Jejak Iban pada 21 April 1962, sebelum diserap ke dalam Renjer Malaysia apabila Persekutuan Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963.


Berasal dari komuniti Dayak, Iban, mendiang adalah Rejimen Renjer Diraja berpangkat Sarjan Mejar Rejimen kepada 8 Renjer dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


Beliau kemudian dianugerahkan dengan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) dan Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) oleh Yang diPertuan Agong, Sultan Ahmad Shah pada 3 Jun 1981.

Menamatkan khidmat sebagai Pegawai Waran 1, selepas 21 tahun terbabit dalam bidang ini, sebelum dianugerahkan Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran Datuk oleh Kerajaan Negeri September tahun lalu.

Mendiang hampir menemui ajal selepas peluru musuh mengenai jantung merosakkan satu buah pinggangnya, terburai usus perut dan terlantar di hospital selama 14 bulan.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mendiang akan diberikan penghormatan negara apabila disemadikan di Sarawak, Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03
`