Ahad,23 November 2014

Jubah ala gaun malam

Oleh Hamizah Badiran

BUTIK Dura Fashion memberi imej tersendiri kepada busana Muslimah daripada rangkaian terkini koleksi eksklusifnya yang memberi lebih pilihan kepada pelanggan untuk bergaya dan masih menutup aurat.

Pemilik butik, Muhammad Hafiz Abu Samad berkata, koleksi berkenaan memberi pilihan kepada Muslimah untuk bergaya sama ada menyarung jubah ala gaun malam, blaus dengan gaun kembang beropol atau seluar.

Berasaskan prinsip ‘penyelesaian dipercayai wanita’, Muhammad Hafiz memberitahu, koleksinya bertambah istimewa apabila hanya menjual pakaian bermula pada saiz L dan sekiranya pelanggan mahu saiz kecil, pakaian berkenaan boleh diubah suai terus oleh tukang jahitnya.

“Walaupun pakaian itu tidak ketat serta mempunyai potongan labuh, ia tetap nampak kemas pada tubuh pemakai selain turut mempunyai kesan melangsingkan tubuh dengan ilusi berbeza.


“Ia mempunyai saiz mengikut setiap jenis tubuh dan kainnya yang boleh regang membuatkan ia sesuai untuk sesiapa saja termasuk wanita hamil.


“Selendang juga berlainan daripada yang ada di pasaran kerana panjangnya dua meter dan mempunyai piping. Ia bertujuan memudahkan si pemakai melilit selendang berkenaan selain dapat menutup bahagian dada mereka, selaras tuntutan syarak,” katanya yang mengusahakan butik berkenaan bersama isterinya, Nur Hanani Sharudin serta dua rakannya, Izzatul Nadiah Ibrahim dan Mohd Redzuan Shah Mohd Roslan.

Selain itu, mereka turut mengilhamkan selendang yang boleh digayakan dalam lapan cara berlainan. Uniknya, selendang diberi nama Pearl Raudhah ini mempunyai bebola magnet yang berfungsi sebagai pin dan aksesori tambahan.

Nur Hanani menjelaskan, rangkaian fesyen yang diilhamkan itu dihasilkan sendiri dan dijahit seorang tukang jahit profesional.

Fabrik kapas dan sifon berkualiti tinggi menjadi pilihan mereka kerana ia fabrik terbaik untuk iklim panas berikutan faktor ringan, sejuk dan mudah dijaga serta senang dimuatkan ke dalam almari pakaian mahupun beg pakaian.

Ia direka khas untuk keselesaan yang berpanjangan agar tubuh mudah bernafas selain harga yang berpatutan.

“Kebanyakan koleksi fesyen yang kami hasilkan ini sangat praktikal dan mudah disesuaikan mengikut mana-mana majlis, sama ada formal atau tidak formal. Ia turut sesuai untuk golongan yang sentiasa sibuk bekerja dan terkejar-kejar tetapi masih mahu tampak anggun.

“Kami juga menjalankan kajian dari semasa ke semasa bagi mendapat pandangan orang ramai terutama pelang­gan dalam pelbagai aspek, termasuk motif atau corak menarik, material yang diminati serta harganya,” katanya.

Bagi mereka yang gemarkan kesederhanaan, padankan saja blaus berona kuning terang dengan motif fauna ini dengan sehelai skirt berona kontra kerana anda tetap manis dipandang.

Jubah berwarna merah jambu dan ala denim ini juga kelihatan ringkas dan cantik pada tubuh si pemakai yang menggayakan tudung bercorak geometri serta flora vintaj sebagai penambah seri.

Jika mahukan hari paling santai ke pejabat, apa kata rehatkan koleksi aksesori dan hanya serikan gaya dengan kombinasi selendang polos bersama Pearl Raudhah serta blaus berona krim.

Gaya ini sudah cukup menyerlahkan sisi feminin dengan padanan sehelai skirt kembang beropol bermotifkan flora dan fauna.

Mengenai kepelbagaian jenis gaun, ia sebenarnya dapat menjadikan penampilan menarik sekiranya dipadankan dengan blaus yang serasi. Suai padankan saja mengikut cita rasa anda dan paling penting, mesti kena sopan dengan imej berhijab.

Selain itu, Muhammad turut menambah, butik Dura Fashion mereka juga menyediakan perkhidmatan spa kaki, rawatan rias kuku dan solekan menggunakan produk Glominerals di bawah GloProfessional dari Amerika Syarikat. Surau juga disediakan buat pelanggan di tingkat tiga butik berkenaan.

Bagaikan pusat sehenti untuk golongan wanita kelihatan menawan, butik ini ternyata memahami kehendak wanita.


Terima kasih

Dura Fashion (www.durafashion.com) No 15a & 15b, Jalan Plumbum Q7/Q, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor www.durafashion.com

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/06
`