Khamis,23 Oktober 2014

Jerebu tebal Sumatera kini melanda Singapura

SINGAPURA: Jerebu yang melanda sebahagian kawasan di Malaysia khasnya di Johor kini melanda Singapura, dan kian bertambah buruk dalam masa beberapa jam sahaja.

Keseluruhan pulau republik ini hari ini berkabus dan langit khasnya di kawasan Marina Bay di mana bangunan tinggi seperti Maybank setinggi 32 tingkat dan Hotel Marina Bay Sands setinggi setinggi 55 tingkat, penglihatan tidak berapa jelas disebabkan jerebu tebal.


Pusat bandar raya juga tidak ketinggalan di mana kawasan seperti dalam dan sekitar kawasan pelancong di sepanjang Orchard Road kelihatan berkabus dengan jerebu.

Semalam, Indeks Mutu Pencemaran (PSI) mencecah sekitar 80, menyebabkan kualiti udara di sekitar pulau ini yang paling teruk, yang pernah dicatatkan sejak jerebu buruk berlaku berpunca dari Sumatera, Indonesia.


Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura, Dr Yaacob Ibrahim melahirkan perasaan tidak puas hati mengenai bertambahnya kawasan tompok-tompok panas di Sumatera yang menyebabkan jerebu.


Beliau berkata, Singapura sudah banyak kali meminta pihak berkuasa Indonesia mengambil langkah-langkah untuk memastikan kebakaran hutan tidak berlaku lagi.

"Kita agak dukcita dengan apa yang berlaku, (dan) ini bukan pertama kali kita maklumkan pihak berkuasa Indonesia bahawa mereka hendaklah memberikan perhatian terhadap tompok panas di kedua-dua Sumatera dan Borneo," katanya.


"Pada hakikatnya, banyak kali, kita beritahu pihak berkuasa Indonesia, sila ambil langkah-langkah agar ini tidak berlaku. Tetapi ini telah berlaku,” tambah beliau.

Minggu lalu, Menteri-menteri Alam Sekitar Asean mengadakan pertemuan di Brunei untuk Perjanjian Jerebu Asean, dan mereka mengingatkan sesama sendiri agar berwaspada dengan ancaman jerebu.


Yaacob juga berkata, Singapura bersedia membantu Indonesia untuk membanteras kebakaran di kawaan tompok panas.


Sementara itu, Agensi Alam Sekitar Nasional menyatakan bahawa jerebu sederhana akan berterusan menyelubungi Singapura dalam masa beberapa hari akan datang. –Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2010/10/21
`