Sabtu,25 Oktober 2014

Jerawat belakang badan

SIFAT semula jadi wanita sangat mementingkan penjagaan wajah terutama bebas daripada masalah jerawat yang menyebabkan kulit membengkak dan bertukar kemerah-merahan atau bernanah.

Ramai wanita khuatir jerawat akan menyebabkan wajah kurang berseri atau hilang manisnya sehingga mereka menggunakan pelbagai produk atau menjalani rawatan untuk mengurangkannya.


Namun, jerawat bukan hanya menyerang wajah, tetapi bagi sesetengah wanita jerawat tumbuh pada kulit kepala, dada, kemaluan dan belakang badan.

Selain faktor hormon dan persekitaran, jerawat juga dikaitkan dengan masalah resdung yang boleh dilihat menerusi tanda seperti kerap bersin, mata dan hidung gatal dan berair serta kulit berjerawat.


Menurut pemilik Pusat Kecantikan Seri Mawar, Rusminah Hamid, setiap orang mempunyai resdung sama ada aktif atau tidak dan sedikit atau banyak.


Biasanya resdung menjadi lebih teruk bagi mereka yang alah pada makanan laut seperti ketam, sotong dan udang.

“Individu yang mempunyai masalah resdung, makanan laut akan menyebabkan penyakit ini menjadi lebih teruk. Secara tibatiba mereka bersin dan gatal pada mata, telinga dan muka. Lebih teruk, resdung akan menyebabkan mata dan telinga berair,” katanya.


Tambah Rusminah, bagi mengurangkan jerawat sama ada pada muka atau belakang badan, ia harus merawat masalah resdung terlebih dulu.

Namun, kebanyakan wanita sering mengabaikan rawatan pada bahagian belakang kerana dianggap tidak penting dan tidak dilihat orang. Ada juga bakal pengantin mengalami jerawat pada belakang badan dan ingin menghilangkannya, namun perlu mengambil masa terutama bagi jerawat bernanah yang boleh meninggalkan parut.


“Sebaiknya wanita bukan saja memberi tumpuan pada wajah, tetapi juga bahagian tubuh. Ini kerana jerawat boleh dihilangkan jika mereka mendapat rawatan awal,” katanya.


Bagi wanita yang mengalami masalah jerawat di belakang badan, rawatan perlu dilakukan untuk menghilangkan bekas jerawat, mencerah dan menghaluskan kulit serta memberi vitamin kepada kulit.


“Rawatan menggunakan kain yang dibakar di belakang badan dilakukan bagi mengecutkan jerawat. Selepas itu badan dibersihkan menggunakan sabun herba diikuti dengan bedak air herba bertujuan memberi vitamin pada kulit.


Rawatan ini dilakukan pada hari pertama, ketiga dan kelima,” katanya.


Untuk menghilangkan bekas jerawat dan menghaluskan kulit, rawatan mandi lulur dilakukan dengan menggunakan campuran serbuk lulur, kunyit dan minyak zaitun. Manakala campuran serbuk mangir, dadih dan air mawar digunakan untuk mencerahkan kulit seterusnya menghilangkan noda hitam bekas jerawat. Rawatan ini dijalankan tiga kali berturutturut.


Setelah selesai keduadua rawatan, pelanggan akan menjalani rawatan terakhir iaitu mandi Cleopatra selama 45 minit iaitu campuran antara mandi susu dan mandi bunga.


“Berendam dalam susu segar membantu memutihkan kulit dan menghilangkan parut jerawat, manakala mandi bunga selain memberi kesegaran, tujuh jenis bunga berlainan warna yang dicampur limau purut dapat memberi semangat serta keserian wajah,” katanya.


Menurut Rusminah, selain menjalani rawatan menghilangkan jerawat, wanita mempunyai jerawat yang teruk perlu mengurangkan makanan laut seperti kerang, ketam, udang dan sotong.


Lebihkan makan sayursayuran dan buahbuahan segar serta banyakkan minum air kosong lapan gelas sehari.


“Selain itu makanan mengandungi belacan juga penyebab utama resdung dan jerawat.


Sebaikbaiknya elakkan masakan ini untuk jangka masa tertentu,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/01/05
`