Isnin,20 Oktober 2014

Jangan dekati zina

SAYA wanita muda yang berkerjaya. Pernah bercinta dan terjebak dengan pelbagai maksiat tetapi tidak pernah sampai berzina.

Adakah dosa seseorang itu masih boleh diampunkan selepas dia sedar, mengaku serta bertaubat dari dosa yang pernah dilakukan sebelum ini?

ELEENA,
Perak


APABILA seseorang sudah insaf dan bertaubat kepada Allah dengan bersungguh-sungguh atas kesilapan yang dilakukan, dosanya akan terampun.


Bagi mereka yang melakukan dosa kecil ia boleh terhapus dengan cara banyakkan beristighfar, iaitu memohon keampunan kepada Allah s.w.t. Selain itu, dengan mengambil wuduk juga dapat menghapuskan dosa kecil.

Saya nasihatkan, ketika bercinta anda tidak boleh keluar berdua-duaan kerana boleh menjurus kepada perbuatan dosa besar iaitu zina. Sebagai ingatan, zina termasuk dalam dosa besar yang perlu dijauhi.

Ini kerana ia mempunyai akibat buruk di dunia dan akhirat. Dosa zina itu menyebabkan amalan baik tidak dikira kecuali seseorang itu kembali bertaubat, beriman dan melakukan amal seterusnya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan orang-orang yang tidak menyembah Tuhan lain berserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan demikian itu, nescaya dia mendapat (pembalasan) dosa (nya), (yakni) akan digandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan dengan kebaikan; dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Furqan (25): 68-70).

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/12
`