Khamis,23 Oktober 2014

Isteri risau tak mengandung

SAYA sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia dua tahun. Kini saya berumur 25 tahun dengan berat badan 60 kilogram dan tinggi 158 sentimeter.

Suami saya pula berumur 36 tahun. Sepanjang kehamilan, saya tiada masalah dan sebelum hamil, haid saya teratur. Selepas tiga bulan melahirkan anak, saya ada mengambil suntikan pencegah kehamilan di klinik swasta selama tiga bulan berturut-turut. Suntikan terakhir saya sepatutnya pada 18 November 2011 tetapi saya tidak lagi mengambilnya kerana ingin menambah cahaya mata.

Doktor di klinik sudah memberitahu, ketika suntikan diambil kitaran haid tidak menentu. Memang ketika suntikan diambil haid saya tidak teratur, ada kalanya dua bulan sekali dan jumlahnya juga sedikit.

Kini sudah hampir tiga bulan tanpa suntikan tapi haid saya masih tidak teratur. Kali terakhir saya datang haid pada 29 Disember 2011. Selepas tarikh itu hingga kini, saya belum datang haid.


Saya sangkakan hamil tetapi selepas membuat ujian kehamilan sendiri di rumah, didapati saya tidak hamil. Saya juga tidak mengambil sebarang pil atau ubat-ubatan lain. Adakah saya masih berpontensi untuk hamil dan apakan saranan doktor untuk mengatasi masalah ini?


SITI,
Kuala Lumpur




SEKIRANYA anda tidak mempunyai masalah untuk hamil kali pertama dulu, besar kemungkinan anda juga tidak mempunyai masalah untuk hamil seterusnya. Walau bagaimanapun, dengan jarak dua tahun, kadangkala sesuatu penyakit yang kita sudah ada dahulunya kini menjadi semakin nyata atau berkembang dan memberi kesan.

Anda dinasihatkan menunggu sehingga enam bulan daripada suntikan terakhir untuk memberi peluang kehamilan sendiri sebelum mendapatkan pemeriksaan dan rawatan doktor. Dengan kitaran haid yang masih tidak teratur atau berjarak, berkemungkinan kesuburan anda belum kembali.

Antara tindakan suntikan depo adalah menghentikan pengeluaran telur (ovulasi) buat sementara waktu. Ada pengguna suntikan depo yang hamil dalam tempoh tiga bulan penghentiannya. Namun, kebanyakan mereka hamil dalam masa selepas enam bulan suntikan dihentikan. Secara purata wanita hamil selepas sembilan hingga 10 bulan suntikan depo dihentikan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/02/12
`