Sabtu,29 November 2014

Interaksi: Kerusi panas lawak mega

SELEPAS mencatat kejayaan memberangsangkan pada penganjuran minggu pertama, Astro Warna meneruskan kesinambungan pencarian pelawak berbakat menerusi Maharaja Lawak Mega 2012.

Saingan tahun ini dijangka lebih menarik apabila format baru undian ‘hot seat’ online diperkenalkan untuk memilih peserta ke pentas Maharaja Lawak Mega musim kedua.

Format itu menyaksikan 27 kumpulan akan bersaing selama dua minggu. Aksi lawak mereka dinilai dan diundi penonton menerusi klip video selama empat minit. Menariknya, hanya tiga kumpulan teratas akan berada pada peringkat saingan utama bersama peserta keseluruhan program itu. Undian online akan dibuka pada 5 September (hari ini), jam 6 petang hingga 17 September, jam 12 tengah hari.

Dengan rating memberangsangkan pada musim pertama, pengenalan saingan ‘hot seat’ itu pasti memberi peluang sama rata kepada setiap kumpulan untuk diserap masuk bagi melengkapkan keseluruhan senarai peserta bertanding termasuk kumpulan dari Singapura dan Indonesia.


Ikuti temu bual wartawan Rap, ESME JOHARI WAHAB (esme@hmetro.com.my) bersama Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani mengenai prospek dan cabaran baru musim kedua Maharaja Lawak Mega 2012 sebelum membuka tirai saingan pada setiap Jumaat, bermula 9 November depan melalui saluran Astro Warna (132) dalam pakej Mustika.



RAP: Program realiti televisyen adalah mengenai rating, apa jangkaan terhadap Maharaja Lawak Mega 2012?

NIZAM:
Kami sentiasa menilai perkara untuk meningkatkan kualiti persembahan dan kepuasan pelanggan. Maharaja Lawak Mega tahun lalu mencatat rating bagus, jadi kami merasakan jangkaan tahun ini lebih baik memandangkan atmosfera saingan mencari pelawak menampilkan ramai peserta dikenali yang bersaing di atas pentas sama. Pertandingan sesekali diadakan akan menarik penonton jika mereka merasakan mereka sebahagian daripada program itu.


RAP: Mengapa perkenalkan format ‘hot seat’? Bagaimana pangkalan data peminat Maharaja Lawak Mega sekarang?

NIZAM:
Format ‘hot seat’ hadir pada sesi teh tarik. Kami mahu memberi persaingan adil menerusi undian penonton sepenuhnya memilih mana-mana 27 individu atau kumpulan bertarung mendapatkan tiga slot sebelum layak berada dalam senarai keseluruhan peserta bertanding.

Jika pihak pengurusan Astro sendiri memilih, ramai mengatakan tidak adil atau pilih bulu. Sekarang, penonton sendiri undi dan pilih, undi terbanyak, dapat tempat. Setakat ini, data kami ada menunjukkan peminat program ini mencecah lebih setengah juta dalam tempoh tidak sampai setahun.


RAP: Apa yang anda lihat terhadap perkembangan masa depan peserta Maharaja Lawak Mega?

NIZAM:
Ganjaran atau hadiah kemenangan memang menarik seperti diketahui ramai pada musim pertama. Bagi saya, program ini menjadi platform kepada pelawak tempatan menonjolkan bakat mereka pada tahap terbaik mengikut kreativiti mereka sendiri.

Kami menyediakan tempat dan cara mereka menampilkan idea dan selebihnya terpulang kepada idea dan cara bagaimana mereka membuat orang ketawa. Mereka boleh menikmati kehidupan lebih baik, peluang dan tawaran untuk berlakon, menjadi pengacara dan apa saja.


RAP: Bagaimana status dimiliki pelawak sekarang berbanding beberapa tahun lalu atau sebelum program lawak diadakan Astro?

NIZAM:
Pelakon komedi sudah mendapat pengiktirafan. Mereka boleh dianggap sebagai artis serba boleh, unik dan benar-benar menjadi penghibur. Daripada maklum balas diterima, ramai yang kini mendapat pelbagai ‘job’ dan ‘offer’ yang kadangkala mereka sendiri tidak menang tangan untuk memenuhinya. Kanak-kanak, golongan muda dan orang lama juga meminati mereka kerana sikap spontan mereka yang pandai melayan peminat.


RAP: Bolehkah dikatakan sekarang populariti pelawak lebih mendapat tempat berbanding pelakon dan penyanyi?

NIZAM:
Ini antara aspek melalui perubahan dalam dunia seni hiburan tanah air. Misalnya, jika penyanyi datang ke majlis, mereka akan meninggalkan pentas selepas menyanyi tiga, empat lagu. Buat pelakon, mereka dikenali melalui drama atau filem hangat ditayangkan ketika itu. Tetapi pelawak, mereka lebih senang diingati, tugas sentiasa ‘tough’, sekarang ramai boleh menyanyi, berlakon spontan, berdrama, mempamerkan gelagat lucu, mengacara dan menyanyi tanpa terikat kepada skrip atau itu, ini. Apapun, Maharaja Lawak Mega bukan pentas buat mereka ‘memperbodohkan’ orang lain atau diri sendiri tetapi menghiburkan dengan kaedah semasa yang tidak difikirkan orang lain.


RAP: Adakah era pelawak atau komedi mengambil alih minat penonton sekarang?

NIZAM:
Komedi sebahagian daripada hidup manusia. Apabila berasa lucu, kita ketawa. Begitu juga apabila melihat lawak jenaka, siapa saja merasakan lucu, mereka tertarik, mengikuti dan meninggalkan kesan dalam hati. Pelawak ada peminat tersendiri yang setia. Malah, ramai antara mereka sudah ada jenama sendiri, produk sendiri dan terus berkembang untuk program lain berpunca daripada nama kumpulan itu sendiri terutamanya Maharaja Lawak Mega tahun lalu!


RAP: Ceritakan sedikit undian ‘hot seat’ dan siapa peserta yang bersaing untuk mendapatkan tiga tempat terakhir?

NIZAM:
Memang menarik, ada peserta musim Raja Lawak sebelum ini, ada pelakon terbabit dalam program terbitan Astro dan pengacara tidak pernah berlakon atau menyertai mana-mana program lawak. Peserta perlu bekerja keras kerana mereka tidak mendapat tempat mudah sekalipun ada antara anggotanya pernah tampil sebagai finalis dalam Maharaja Lawak Mega.

Peserta ‘hot seat’ perlu berada dalam Top 3 undian penonton dan 24 kumpulan lain akan tersingkir. Undian online boleh dibuat melalui laman sesawang rasmi Maharaja Lawak Mega 2012 di www.Maharajalawakmega.com.my. Undian hanya sekali sehari untuk kumpulan kegemaran masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/04
`