Sabtu,25 Oktober 2014

Injap jantung bocor

DI dalam organ jantung ada empat injap yang berfungsi memastikan darah mengalir dalam satu arah saja. Injap ini dinamakan injap mitral dan aortic di sebelah kiri dan injap pulmonari dan tricuspid di kanan jantung.

Injap mitral memisahkan antara atrium kiri dan ventrikel kiri dan memastikan darah hanya mengalir daripada atrium ke dalam ventrikel.

Daripada ventrikel kiri, darah dipam keluar ke salur darah aorta dan injap aortic memastikan darah tidak mengalir semula ke dalam ventrikel kiri dari aorta.

Injap tricuspid pula memisahkan atrium kanan dan ventrikel kanan, manakala injap pulmonari memisahkan ventrikel kanan dan salur darah pulmonari.


Masalah injap bocor ialah apabila injap tidak dapat berfungsi dengan baik dan mengakibatkan darah mengalir ke belakang. Jika injap mitral bocor, darah mengalir semula ke dalam atrium kiri dan jika injap aortic, darah mengalir semula ke dalam ventrikel kiri.


Injap paling kerap mengalami masalah bocor adalah injap mitral dan aortic, diikuti injap tricuspid dan pulmonary.


Injap mitral bocor (Mitral regurgitation)

Injap mitral boleh menjadi bocor disebabkan:

  • masalah prolapse injap mitral
  • penyakit jantung reumatik
  • jangkitan endocarditis – jangkitan kuman pada injap
  • penyakit jantung koronari
  • jantung bengkak

    Simptom akibat masalah ini:

  • Penat atau susah bernafas ketika berjalan atau bersenam
  • Rasa berdebar-debar

    Ujian yang boleh mengesahkan masalah ini ialah ekokardigram atau ultrasound jantung. Di dalam ujian ini, tahap bocor injap dapat dinilai dengan tepat dan jika didapati teruk, pesakit disyorkan menjalani pembedahan injap mitral. Tiada ubat boleh mengubati masalah injap.


    Injap aortic bocor (Aortic regurgitation)

    Masalah ini disebabkan:

  • penyakit jantung reumatik
  • jangkitan endokarditis – jangkitan kuman pada injap
  • masalah yang menyebabkan salur darah aorta menjadi bengkak seperti sindrom Marfan, sifilis dan ankylosing spondylitis

    Simptom kerap dialami ialah kesukaran bernafas atau penat, terutama bila bersenam. Sama seperti masalah injap mitral bocor, tiada ubat boleh mengubatinya. Pembedahan tukar injap satu-satunya rawatan untuk masalah injap aortic bocor.


    Injap Trikuspid bocor

    Injap tricuspid berada di sebelah kanan jantung. Injap ini boleh menjadi bocor disebabkan:

  • jangkitan endokarditis – jangkitan kuman pada injap
  • Penyakit jantung reumatik
  • masalah yang menyebabkan ventrikel kanan bengkak seperti:
    > pulmonari hipertensi atau tekanan darah tinggi di dalam salur darah pulmonari
    > masalah lemah jantung keseluruhan


    Simptom disebabkan oleh masalah ini adalah:

  • bengkak seluruh badan
  • bengkak kaki
  • bengkak bahagian abdomen
  • letih


    Di segi rawatan, ubat boleh diberi untuk mengurangkan bengkak kaki atau abdomen, tetapi rawatan definif ialah pembedahan ‘repair’ atau ‘tricuspid annuloplasty’ atau tukar injap tricuspid. Sebarang pertanyaan, sila e-mel ke zulcardio@gmail.com

    Artikel ini disiarkan pada : 2011/12/03
  • Artikel Lain

    `