Khamis,23 Oktober 2014

Hidu gas beracun

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Seramai 50 pelajar dan seorang waris yang terhidu gas beracun di Sekolah Menengah Seri Pantai, dekat sini, semalam yang menerima rawatan di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) II, di sini, dilaporkan dalam keadaan stabil.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, kesemua pelajar tingkatan empat dan lima di sekolah itu dipercayai terhidu gas berkenaan ketika sedang belajar sebelum mereka mengalami muntah, pening kepala dan sesak nafas.

Berikutan itu, mereka kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Kedah untuk mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas mendapati keadaan semua pelajar membimbangkan.

Pengarah HSB Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, setiap mangsa dimandikan terlebih dahulu bersama pakaian yang dipakai ketika kejadian untuk mematikan kuman akibat terhidu gas beracun itu.

Beliau berkata, disebabkan jumlah pelajar yang ramai, pihaknya terpaksa memindahkan semua mangsa ke HSB II (Hospital Alor Setar), di sini, untuk menjalani rawatan susulan dan dipantau setiap masa.

"Kita sudah menghantar satu pasukan khas untuk memeriksa di sekitar kawasan lokasi bagi mengenal pasti punca menyebabkan semua pelajar muntah, pening kepala dan sesak nafas," katanya.

Juita berkata, semua pelajar dan waris terbabit mendapat rawatan di Klinik Kesihatan di Kuala Kedah terlebih dahulu sebelum dihantar ke HSB untuk mendapatkan rawatan.

Foto

SEMUA mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah II untuk rawatan lanjut

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/23
`