Sabtu,20 Disember 2014

Gaun malam Muslimah

Oleh Hamizah Badiran

KELEMBUTAN kapas dan sifon sering menjadi pilihan terutama untuk menghasilkan sepasang busana yang selesa lagi indah perinciannya. Seiring dengan perubahan fesyen di negara ini, koleksi daripada pakaian tradisional sehingga moden sudah mula dipelbagaikan mengikut selera si pemakai itu sendiri.

Sekilas pandang, wanita yang berhijab atau bertudung juga kini sudah boleh memiliki sepasang busana Muslimah terutama untuk menghadiri majlis makan malam dengan lebih mudah dek aliran fesyen yang semakin berkembang.

Umum mengetahui kebiasaannya gaun panjang paling sesuai untuk dijadikan pilihan menghadiri acara formal pada malam hari. Namun, gaun malam di pasaran selalunya menampilkan susuk tubuh wanita. Tetapi itu dulu kerana kini gaun malam untuk wanita Muslimah yang menutup semua aurat mudah didapati di pasaran.

Pengasas butik dalam talian menerusi laman sosial facebook Gee Beautyz, Fauziah Bahanuddin, berkata Muslimah kini memiliki kecenderungan baru untuk bergaya dan tidak seperti wanita dulu yang bersifat konvensional.

Foto

SOPAN...jumpsuit bersama hud kepala semakin menjadi pilihan wanita Muslimah kerana memberi kemudahan pilihan gaya bertudung.

Foto

UNIK...gaun maxi yang mencantumkan baju dan gaun di bahagian bawah ini mudah dan selesa dipakai. Corak tumbuhan pucuk paku pakis menambahkan lagi kelainan.

Foto

RINGKAS...pemakaian gaun polos jika dipadankan dengan tudung bercorak dan aksesori bersesuaian amat menarik ketika bersantai.


“Busana yang dulu hanya dilirik sebelah mata saat ini sudah tampil menjadi sebahagian daripada keperluan masyarakat kota. Gaun malam Muslimah tidak lagi hanya terbatas pada model rekaan abaya atau jubah tetapi meluas kepada rekaan lain,” katanya.


Butiknya turut menawarkan pelbagai jenis rekaan pakaian untuk Muslimah yang mahu ke majlis makan malam. Tidak lupa, ia ada menawarkan pakaian kasual yang masih bercirikan keislaman buat pemakai yang berminat.

Apa yang penting, ia mengekalkan penampilan si pemakai yang mahu sentiasa sopan sepanjang masa. Bagi mereka yang ingin bergaya glamor tetapi mahu mengekalkan ciri wanita Muslimah, mereka boleh memilih gaun labuh yang dipermodenkan menerusi potongan serta perincian manik ringkas.

Padanan ini senang digayakan dengan tudung dan lebih penting, ia selesa dipakai kerana longgar dan tidak panas.

Menurut Fauziah, pilihan padanan gaun di butiknya dihasilkan tidak terlalu meriah, berat apatah lagi menjolok mata. Coraknya pula sederhana dan sesuai untuk penampilan wanita yang mengenakan tudung.

“Rekaan gaun Muslimah ini menepati ciri wanita Islam kerana potongannya longgar dan labuh. Perincian yang digunakan pula ringkas, sesuai untuk ke majlis makan malam ataupun kasual.

“Bagi menambah seri dan kepelbagaian pada si pemakai, disediakan pakaian rona pastel dan terang mengikut permintaan pelanggan. Kebanyakan pelanggan saya menyukai warna biru firus, ungu, merah jambu, hijau, hitam, merah dan coklat.

“Mungkin disebabkan warna ini mendamaikan selain senang disuai padan dengan kasut atau tas tangan. Fabriknya yang lembut pula terletak cantik pada tubuh si pemakai,” katanya yang sudah dua tahun menjalankan perniagaan ini bersama suami.

Himpunan pakaian Gee Beautyz ini diambil terus dari Jakarta, Indonesia dan memiliki potongan serta jahitan yang kemas. Ia juga sesuai untuk semua ukuran sama ada berbadan kecil, sederhana atau besar.

Untuk ke majlis makan malam misalnya, boleh memakai tudung diperbuat daripada kain satin yang dipadankan bersama gaun maxi bercorak yang bercantum sekali dengan baju berlengan panjang di bahagian atasnya.

Selain itu jumpsuit yang mempunyai hud untuk menutupi bahagian kepala juga menarik untuk dicuba. Ia menjadi pilihan ramai di waktu ini kerana memberi kemudahan pilihan bertudung kepada Muslimah. Serikan lagi penampilan dengan aksesori seperti tali pinggang yang mempunyai manik.

Gaun Muslimah ini mempunyai harga berpatutan yang dijual antara RM120 hingga RM200. Untuk maklumat lanjut, layari http://facebook.com/gbeautyz.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/29
`