Khamis,27 November 2014

Gandingan 3 serangkai

Oleh Norhayati Nordin

SELEPAS menjayakan kembara The Legendary Concert 2012 yang berakhir Jun lalu, kini sekali lagi Jamal Abdillah akan muncul dalam konsert berskala besar. Dia bergandingan di sisi penyanyi ternama, Datuk Khadijah Ibrahim (Khaty) untuk menghiburkan peminat mereka pada Konsert Gemilang nanti.

Diumumkan berlangsung pada 29 September ini hingga 13 Oktober depan di tiga lokasi pilihan, turut terbabit sama dalam konsert itu adalah komposer terkenal, Datuk Dr Ahmad Nawab. Malah, pada awal kemunculan Jamal dan Khaty sebagai artis, mereka pernah mendapat bimbingan daripada pemuzik tersohor itu.

Justeru, gandingan tiga serangkai anak seni hebat negara ini dalam konsert yang penuh memori itu nanti pastinya akan membawa pada imbauan sejarah silam masing-masing. Jadi, bagaimanakah kisah lalu mereka sewaktu mula-mula mendapat peluang mengetengahkan bakat sebagai penyanyi?

Ditemui pada sidang media kelmarin, Ahmad Nawab berkata, segala kejayaan dikecapi beliau, Jamal dan Khaty pada tahap sekarang ini semestinya bukan satu perjalanan mudah. Sehubungan itu, selain menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu popular ciptaannya, memori indah itu akan dipersembahkan.


“Saya memilih untuk menjayakan konsert ini bersama Jamal dan Khaty kerana mereka penyanyi terbaik dan cukup profesional. Malah, kami mempunyai banyak kenangan bersama memandangkan saya yang membimbing kedua-dua mereka ketika mula-mula mahu mengorak langkah sebagai penyanyi.


“Jadi, bagi penonton yang ingin mengetahui memori silam menarik ini bolehlah datang menyaksikan Konsert Gemilang di Dewan Jubli Perak Kuantan, Pahang pada 29 September, jam 8.30 malam dan di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC), jam 8.30 malam, 13 Oktober depan.

“Diharapkan konsert ini akan berjaya kerana ia sebahagian daripada impian saya. Apatah lagi, corak persembahannya lebih kepada menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu popular dan mengimbau memori peribadi kami. Pun begitu, saya yakin penonton akan seronok menyaksikan konsert ini,” katanya.

Berpengalaman menggubah lebih 2,000 lagu sejak tahun 50-an, Ahmad Nawab juga pernah menjalin kerjasama dengan barisan artis terkenal negara yang lain seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Allahyarham Saloma, Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Salamiah Hassan dan Ramlah Ram.

Bagi Khaty pula, beliau sangat teruja untuk menjayakan konsert itu bersama Jamal. Apatah lagi, sebelum ini beliau cukup sinonim digandingkan dengan Ramli Sarip. Jadi, ujarnya pasti penonton ingin menyaksikan sejauh mana keserasian gandingan antara dirinya dan Jamal apabila beraksi bersama di atas pentas.

“Bahkan, apa yang lebih menyeronokkan lagi apabila sejarah kenangan lalu kami juga akan dipersembahkan juga kepada penonton. Apapun, saya yakin, penonton pasti ingin tahu rahsia yang pernah kami lalui suatu ketika dulu sebelum berjaya berada pada tahap sekarang ini. Tak dinafikan, terlalu banyak kisahnya.

“Oleh itu, jika mahu mengetahui perjalanan kisah saya dan Jamal datanglah menyaksikan konsert kami. Saya jamin memang banyak rahsia kami akan dibongkar di atas pentas nanti. Selain itu, penonton juga dihiburkan dengan lagu-lagu yang pernah membantu menaikkan nama kami di persada seni,” kata Khaty.

Jamal mengakui jasa Ahmad Nawab dalam membimbingnya menjadi penyanyi yang baik sangat besar dan tak mampu dibalas. Katanya, dia amat seronok sepanjang bekerjasama dengan peniup saksofon hebat itu yang disifatkan banyak membantunya dari pelbagai sudut terutama menghasilkan lagu terbaik.

“Terlalu banyak memori yang ingin diimbau. Apatah lagi, segala yang saya pernah lalui dulu masih segar lagi di ingatan sehingga kini, Jadi, saya mengharapkan peminat dapat memberikan sokongan dan hadir menyaksikan persembahan saya dan Khaty menerusi Konsert Gemilang ini. Sudah tentu mereka terhibur.

“Apapun, Ahmad Nawab pada saya seorang guru yang tegas. Namun, saya suka dengan lagu-lagu yang dihasilkan beliau untuk saya kerana bersesuaian dengan karakter diri. Justeru, saya sangat berterima kasih kepada beliau kerana sudah bersusah payah membimbing saya dulu,” kata penyanyi lagu Sepi Seorang Perindu itu.

Bagi menyaksikan Konsert Gemilang, harga tiket bagi penonton di Kuantan ialah RM50, RM75 dan RM150. Harga tiket di KLCC pula iaitu RM500 (VIP), RM300, RM200 dan RM100. Sebarang tempahan tiket kini boleh dibuat menerusi www.ticket2U.biz.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/07
`