Rabu,26 November 2014

Fama tambah bas Pasar Bergerak 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menambah sembilan buah bas lagi untuk projek Pasar Bergerak 1Malaysia memandangkan projek tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat.

Pengerusinya Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata penambahan bas itu juga bertujuan menggerakkan konsep pasar tersebut di setiap negeri bagi memudahkan masyarakat berpendapatan sederhana dan miskin mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.

"Sekarang kita hanya ada lima buah bas dan kita akan menambah sembilan buah bas lagi supaya setiap negeri memiliki satu bas bergerak," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Fiesta Mangga @ Menara Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata semua bas yang ditambah itu dijangka berada di setiap negeri pada awal bulan depan.


Pada Februari lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan projek pasar tersebut sebagai inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana.


Ia melibatkan pergerakan sebuah bas dengan berat maksimum 16 tan yang diubah suai khusus bagi mengedar barang keperluan harian terus kepada pengguna dengan matlamat membantu rakyat mengurangkan kesan kenaikan harga barang.

Pendekatan berkonsepkan pasar mini bergerak itu menawarkan produk barangan runcit, barang kawalan, produk IKS tempatan dan barangan segar yang dijual pada harga yang kompetetif.

Bas itu akan bergerak ke lokasi yang ditentukan mengikut jadual. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17
`