Isnin,22 Disember 2014

Duka Tahun Baru Cina

Oleh SURAYA ROSLAN

Port Dickson: “Menyedihkan kerana kejadian ini berlaku beberapa minggu sebelum Tahun Baru Cina,” kata Koh Eng Hong, 70, bapa mentua kepada Tan Ping Wee, 48, rakyat Malaysia yang disahkan terbunuh dalam krisis tebusan di Algeria, baru-baru ini.

Menurutnya, menantunya baru bekerja di Algeria enam bulan lalu dan kali terakhir pulang ke tanah air pada Disember tahun lalu.


“Saya kini hanya memikirkan nasib anak, Koh Siow Mun yang bekerja sebagai kerani dan cucu lelaki saya berusia 16 tahun. Kami bercadang mahu menuntut ganti rugi kepada kerajaan Algeria berikutan tidak menjaga keselamatan pekerja asing di negara itu.

“Buat masa ini kami tidak melakukan persediaan untuk upacara pengebumian sehingga mendapat tarikh mayat menantu saya dibawa pulang ke tanah air,’’ katanya.


Sementara itu, isteri mangsa, Siow Mun, 40-an, berkata, dia diberitahu mengenai berita sedih itu oleh Wisma Putra, malam kelmarin.


“Saya sudah diberitahu mengenai berita sedih itu, tetapi saya tidak mahu ditemubual,” katanya.

Dia yang enggan berjumpa media turut meminta semua pihak memahami situasi dihadapinya berikutan banyak urusan perlu diselesaikan, termasuk membawa pulang mayat suaminya ke Port Dickson.


“Saya runsing, tolong jangan ganggu saya,” katanya.

Tinjauan Metro Ahad ke rumah wanita itu di Taman Bukit Samudera, di sini, semalam mendapati kediaman dua tingkat berkenaan sunyi dan hanya beberapa ahli keluarga ada di dalamnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Artikel Lain

`