Sabtu,22 November 2014

De Gea penyelamat

Madrid: Penjaga gol Manchester United, David De Gea dikecam hebat sepanjang musim ini namun pujian melambung diberikan pengurusnya, Alex Ferguson selepas persembahan cemerlang ketika menentang Real Madrid pada aksi Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.

Pemain remaja Sepanyol berusia 22 tahun itu menyelamatkan gawangnya daripada banyak percubaan tuan rumah untuk membantu United mengikat kedudukan 1-1 pada perlawanan pertama pusingan kedua di Bernabeu.

“Sukar untuk bertandang ke gelanggang ini kerana Real memiliki rekod menakjubkan di laman sendiri,” kata Ferguson.

“Saya sedikit kecewa kerana kami terlalu bertahan hingga membuka peluang buat Real melakukan hantaran silang dan percubaan.

Foto

DE Gea (kanan) pamer aksi terbaik sekat serangan Real.


“Mujur De Gea beraksi cemerlang. Dia menyelamatkan tiga atau empat percubaan berbahaya.”


De Gea sebelum ini dikritik sejak berpindah ke Old Trafford dari Atletico Madrid dengan harga 20 juta euro (RM82.4 juta) pada 2011 dengan saiz fizikalnya didakwa punca kelemahan sepanjang aksi Liga Perdana.

Bagaimanapun Ferguson tetap memberikan sokongan dan penjaga gol itu menghalang dua percubaan berbahaya Fabio Coentrao selain berdepan Mesut Ozil dalam situasi satu lawan satu.

“Dia mempamerkan peningkatan sepanjang musim ini,” kata Ferguson.

“Pada babak pertama, dia bertindak dengan begitu menakjubkan untuk menepis bola keluar.

“Memang sukar untuk dia kembali dan beraksi mantap di stadium ini. Dia mewakili Atletico dan pastinya De Gea meraikan keputusan ini.”

Rakan sepasukan, Ryan Giggs turut gembira menyaksikan persembahan yang dipamerkan De Gea di Madrid.

“Dia penjaga gol yang bagus dan caranya menghalang rembatan tiada tandingan.

“Dia semakin matang dan menunjukkannya malam ini (awal pagi semalam). Dia tampil ke Madrid dengan tekanan tinggi kerana pernah mewakili Atletico dan dia sudah membuktikan keupayaannya.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/15
`