Ahad,21 Disember 2014

Datang haid dua kali sebulan

SAYA berumur 25 tahun dan sudah berkahwin lebih dua tahun. Pada awal perkahwinan, saya keguguran dan selepas keguguran, saya mengambil pil perancang selama setahun lebih.

Kini saya sudah berhenti mengambil pil perancang hampir empat bulan, namun tiada tanda untuk hamil semula. Sebelum ini, kitaran haid saya teratur dan tiba-tiba pada bulan lalu, haid saya datang dua kali sebulan.

Kali pertama saya datang haid bulan lalu selama enam hari dan hampir dua minggu saya bersih, haid saya datang lagi untuk kali kedua. Kali ini, ia datang selama empat hari dan selepas itu saya bersih dan bersama suami. Pada keesokannya, haid saya ada lagi, tetapi sedikit saja. Adakah ini perkara normal atau sebaliknya?

Adakah ia berkaitan dengan pengambilan pil perancang dalam tempoh yang lama?


NOR,

Petaling Jaya, Selangor



HAID yang tidak teratur lazimnya disebabkan gangguan hormon. Pil perancang kebanyakannya jenis berkombinasi dua hormon yang menyerupai hormon estrogen progesteron ovari.

Bagi wanita yang me­ngalami masalah gangguan hormon, pil perancang menjadikan haid mereka kelihatan teratur kerana kandungannya menggantikan hormon tubuh yang tidak seimbang. Malah, pendarahan haid hanya sedikit dan bagi tempoh yang lebih pendek.

Ia bukan sesuatu yang normal untuk wanita yang berhenti mengambil pil perancang mengalami haid dua kali dalam sebulan. Doktor akan memeriksa kemungkinan kehamilan, menjalankan pemeriksaan dalaman untuk melihat keadaan serviks serta ultrabunyi bagi menilai keadaan lapisan endometrium rahim dan ovari.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/15
`