Jumaat,24 Oktober 2014

Datang bulan tak menentu

Saya berusia 20 tahun dan mula datang haid pada usia 12 tahun. Saya risau dengan kitaran haid tidak menentu sejak akhir-akhir ini.

Masalah ini bermula sejak usia 16 tahun apabila saya cuma datang haid selama tiga hingga empat kali saja setahun dan kadangkala haid saya mencecah 15 hari.

Ada beberapa perkara merunsingkan saya iaitu pertama, sebelum kedatangan haid, ada lendir jernih berwarna putih bercampur sedikit darah keluar dahulu untuk beberapa hari sebelum darah haid sebenar keluar.

Kedua, haid saya kebiasaannya keluar setelah saya terbabit secara aktif dalam aktiviti sukan atau aktiviti lasak. Terkini selepas mendaki gunung, ada lendir yang saya sebutkan tadi keluar dahulu selama enam hingga tujuh hari dan kemudian keluar darah haid selama 17 hari.


Selang dua hari kemudian selepas saya menyertai aktiviti lasak, lendir berkenaan keluar lagi dan kemudian disertai darah haid.


Selepas ke klinik, doktor memberikan ubat norethisterone 5mg untuk menghentikan haid dan ia berkesan. Selepas tiga hari saya menghentikan pengambilan ubat itu, haid saya datang kembali.

Adakah lendir jernih berwarna putih bercampur darah yang saya sebutkan itu boleh dikategorikan sebagai darah haid? Ini kerana saya keliru dengan sah solat saya ketika keluar lendir itu.

Untuk pengetahuan doktor, sebelum ini saya sudah melakukan imbasan ultrabunyi pada ovari dan ujian hormon di dalam darah. Keputusan untuk kedua-dua ujian adalah normal.

Saya dinasihatkan untuk merujuk kepada pakar sakit puan sekiranya saya berkahwin kelak untuk memantau tahap kesuburan saya. Diharap pendapat doktor dapat membantu saya dalam hal ini.

Nur Zarith,
Jitra, Kedah



Haid yang jarang berlaku (tiga hingga empat kali setahun) lazimnya berkait dengan ketiadaan ovulasi (pengeluaran telur). Ini boleh dilihat menggunakan imbasan ultrabunyi pada ovari dan rahim ataupun secara ujian darah hormon progesteron yang dilakukan kira-kira seminggu daripada jangkaan haid berikutnya.

Dalam keadaan anda, mungkin sukar untuk melakukan ujian darah hormon progesteron itu kerana haid anda tidak menentu. Ini memungkinkan doktor terpaksa mengulanginya setiap minggu sehinggalah anda didatangi haid.

Ujian darah lain pula boleh membantu doktor mengenal pasti puncanya serta tahap keterukannya. Anda tidak menyatakan apakah sebenarnya ujian darah yang anda jalani.

Ubat yang mengandungi bahan norethisterone mempunyai kesan menyerupai hormon progesteron yang sepatutnya dihasilkan ovari wanita sekiranya ada ovulasi pada kitaran itu.

Jika tiada ovulasi, penghasilan progesteron daripada ovari tidak berlaku, hanya mengharapkan progesteron yang ditukar daripada kolesterol dalam lemak namun ia sangat sedikit dan tidak dapat mengatur haid wanita.

Pendarahan yang anda alami setelah menghentikan ubat norethisterone itu sememangnya dijangkakan kerana ubat itu menggantikan tindakan hormon progesteron dalam kitaran haid normal.

Wanita yang tidak mengalami ovulasi (juga tidak mempunyai progesteron) akan kelihatan seolah-olah terpaksa bergantung kepada ubat berhormon sedemikian. Eloklah anda mendapatkan pandangan ulama dalam soal haid atau darah istihadah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/04
`