Sabtu,20 Disember 2014

Darah tinggi bagai bom jangka

Seseorang itu dikatakan mempunyai darah tinggi apabila tekanan darahnya melebihi 140 mmHg untuk sistolik (tekanan darah atas) dan melebihi 90mmHg untuk diastolic (tekanan darah bawah).

Pesakit akan disahkan mempunyai tekanan darah tinggi jika tekanan itu berterusan untuk selang beberapa kali bacaan dalam jarak masa yang berbeza. Pradarah tinggi pula dikatakan jika tekanan sistolik antara 120 hingga 139 mmHg dan tekanan diastolic antara 80 hingga 89 mmHg.


Secara umumnya 90 peratus daripada pesakit darah tinggi tidak mempunyai punca utama. Ia dipanggil sebagai essential hypertension. Biasanya mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi dari kumpulan ini disebabkan faktor usia.

Ia juga kombinasi kompleks antara faktor genetik dan amalan gaya hidup tidak sihat. Selebihnya pesakit yang mempunyai darah tinggi disebabkan masalah perubatan lain seperti buah pinggang, ketidakstabilan hormon, tiroid, masalah saluran darah ataupun masalah auto immune. Kumpulan ini dikenali sebagai secondary hypertension Dalam kebanyakan kes, tekanan darah tinggi tidak mempunyai simptom. Mereka hanya dikenal pasti apabila menjalani pemeriksaan klinikal biasa ataupun ketika rawatan ke klinik akibat demam selesema.


Bagaimanapun, ada juga yang mempunyai simptom seperti sakit kepala, sakit tengkuk, pening, loya, telinga berdesing dan penglihatan mula kabur. Oleh itu, tekanan darah tinggi juga dipanggil sebagai ‘bom jangkamasa’ kerana ia tidak mempunyai simptom walaupun tekanan darah sudah tinggi.


Yang lebih merisaukan ialah dalam kebanyakan kes, tekanan darah meningkat terlalu tinggi yang dipanggil ‘krisis darah tinggi.’ Ketika itulah simptom dirasai. Ia berlaku jika tekanan darah melebihi 180 mmHg untuk sistolik dan 110 mmHg untuk diastolic. Ketika ini komplikasi darah tinggi mungkin sudah berlaku.

Antara komplikasi darah tinggi ialah strok ataupun bengkak dalam otak pesakit. Ini mengakibatkan seseorang itu mengalami lemah sebelah anggota badan ataupun gangguan saraf lain.


Jika komplikasi berlaku dalam mata, pembuluh darah pada retina boleh pecah dan mengakibatkan gangguan penglihatan. Buah pinggang juga boleh rosak dan gagal berfungsi menyebabkan seseorang pesakit akan bergantung kepada dialisis sepanjang hayat. Serangan jantung juga boleh berlaku dan mengakibatkan jantung gagal berfungsi.

Walaupun diberi gelaran ‘bom jangka’, ramai yang mengambil ringan tentang pengawalan tekanan darah. Sikap sambil lewa untuk mengambil ubat seperti diarahkan dan gagal mengubah gaya hidup sihat menyebabkan komplikasi darah tinggi berlaku lebih awal dan komplikasi ini kekal serta berpanjangan.


Perubahan gaya hidup amat penting kepada semua pesakit darah tinggi terutama kepada mereka dalam kelompok pradarah tinggi. Pergantungan hanya kepada ubat diberi tidak memadai.


Pengurusan berat badan amat penting. Semua pesakit dinasihatkan mencapai berat badan optimum berdasarkan pengiraan indeks jisim badan (BMI). Pengurangan berat badan sebanyak 4.5 kilogram terbukti dapat mengurangkan tekanan darah.


Penjagaan makanan yang kurang garam dalam masakan dan pengambilan diet yang kaya dengan buah-buahan serta sayuran dapat membantu mengurangkan tekanan darah. Berhenti merokok dan tidak mengambil minuman keras juga boleh membantu mengawal tekanan darah. Selain itu, senaman juga tidak boleh dilupakan. Bersenamlah 30 minit sehari sekurang-kurangnya selama lima hari. Senaman dapat mengendurkan lapisan salur darah dan seterusnya tekanan dalam salur darah pesakit dapat dikurangkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/22

Artikel Lain