Sabtu,25 Oktober 2014

D’apotic beri nilai tambah

Oleh Mary Victoria Dass

FARMASI D’apotic yang berpangkalan di Johor mengambil pendekatan berbeza melahirkan masyarakat sihat dengan menyediakan khidmat kaunseling, pemeriksaan kesihatan asas selain menyimpan rekod pelanggan berkaitan penggunaan ubat.

Pengarah Urusannya, Romalita Ramli berkata, pihaknya yang ketika ini memiliki lapan cawangan farmasi beroperasi di sekitar Johor Bahru mengorak langkah menawarkan perkhidmatan berkualiti bertujuan meningkatkan keselesaan pelanggan.


Menurutnya, setiap pelanggan dianggap ahli keluarga farmasi dan mereka akan dididik cara penjagaan kesihatan, langkah pencegahan penyakit mahupun pemulihan, selain menyediakan perkhidmatan tambahan pemeriksaan kadar glukosa, tekanan darah serta pemeriksaan kandungan lemak di badan dengan bayaran minimum.

“Farmasi berkenaan menawarkan lebih 6,000 jenis ubat termasuk vitamin, makanan tambahan kesihatan dan ubatan lain dengan keahlian seumur hidup secara percuma kepada pelanggan bagi membolehkan mereka menikmati potongan harga hingga 20 peratus selain baucar pembelian produk,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan rasmi pusat menjual alat sokongan pemulihan di Bandar Baru Uda di Johor Bahru.


Hadir sama, rakan kongsi merangkap ahli farmasi, K Maal dan Rohana Yusof.


Farmasi berkenaan mempunyai cawangan di Bandar Baru Uda; Plaza Kotaraya; Masai; Permas Jaya, Taman Mount Austin; Larkin Perdana; Taman Perling dan Taman Universiti.

Romalita yang juga ahli farmasi berkata, farmasi itu turut membuka ruangan tambahan di tingkat dua bangunan rumah kedai di Bandar Baru Uda yang menawarkan alat sokongan pemulihan seperti kerusi roda, katil pesakit, mesin pemantau tekanan darah dan perkakasan lain dengan harga berpatutan.


“Kami juga bercadang membuka lebih banyak cawangan farmasi termasuk di luar Johor Bahru bagi menampung permintaan pelanggan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/04/22
`