Jumaat,19 Disember 2014

DOP bakal bina kilang pengeluaran di Myanmar

DELIMA Oil Products Sdn Bhd (DOP), anak syarikat Felda Holdings Bhd bakal mendirikan kilang pengeluaran dan pembungkusan di Myanmar, membolehkannya mengeksport produk hiliran ke negara jiran seperti Laos, Kemboja serta Filipina.

Ketua Pegawai Eksekutif DOP, Zakaria Arshad berkata, sebanyak RM30 juta akan dilaburkan bagi kilang terbabit dengan kemudahan pembungkusan dijangka memulakan operasi dalam masa tiga bulan.


Mengenai kilang pengeluaran pula, beliau berkata, syarikat masih berunding dengan bakal rakan kongsi dalam negara itu untuk mengadakan usaha sama bagi tujuan berkenaan.

“Kami menimbangkan beberapa rakan kongsi, terutama syarikat berkaitan kerajaan, yang sesuai dengan sasaran jangka panjang.


“Produk ini juga akan diedarkan tidak lama lagi di Mandalay dan kawasan lain di Myanmar,” katanya di luar acara Karnival Saji Food yang diadakan di Yangon, Myanmar.


Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Sabri Ahmad dan Pengerusi Grand Wynn, Nicko Hla Win.

Beliau dalam kenyataannya berkata, eksport ke negara Asean tidak termasuk Malaysia, dijangka meningkat 50 peratus daripada 25 peratus sekarang ini dan ketika ini, sebanyak 75 peratus produk DOP dipasarkan dalam Malaysia.


Zakaria berkata, DOP juga mengukuhkan kedudukannya di Myanmar dengan merancang untuk menembusi sekurang-kurangnya 50 peratus daripada pasaran runcit negara dalam masa beberapa tahun akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/02
`