Isnin,24 November 2014

Chong Wei di puncak prestasi

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Kuala Lumpur: Tey Seu Bock yakin pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei akan berada di puncak prestasi pada Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Guangzhou, China pada 5-11 Ogos.

Beliau berkata, Chong Wei kini berada di tahap terbaik dan melakukan persiapan paling menyeluruh bersama dua lagi rakan, Chong Wei Feng dan Liew Daren.


“Kondisi Chong Wei ketika ini di tahap terbaik, begitu juga dengan fizikal dan motivasinya. Saya lihat kesungguhannya kali ini jauh lebih bernafsu dalam usaha memburu gelaran pertama untuk negara,” kata Seu Bock.

Sambil mengakui latihan di bulan Ramadhan dijalankan seperti biasa kerana tiada pemain beragama Islam dalam skuad, Seu Bock juga mengakui Wei Feng dan Daren menunjukkan kesungguhan tinggi untuk mencipta keputusan luar biasa di Guangzhou nanti.


“Tempoh dua minggu ini paling getir buat pemain kerana mereka diberi jumlah latihan fizikal yang tinggi. Meskipun ketika menjalani latihan dalam gelanggang, kapasiti latihan ditingkatkan bagi memaksimumkan kecergasan dan ketangkasan pemain sebagai persediaan menghadapi lawan getir nanti.” Sambil mengakui pemain negara mula berlatih menggunakan bulu tangkis berjenama “Li Ning” seperti yang akan digunakan ketika kejohanan utama itu, Seu Bock berkata, barisan jurulatih juga memutuskan penggunaan bulu tangkis mengikut kelajuan berbeza.


“Kami gunakan mutu bulu tangkis berlainan yang menghasilkan kelajuan berbeza untuk memastikan pemain biasa dengan tahap kelajuan tidak menentu dalam kejohanan itu nanti.

Foto

Datuk Lee Chong Wei

“Dalam dewan pertandingan, bukan bulu tangkis saja menjadi faktor mempengaruhi permainan tapi juga keadaan angin.


“Di sini (Bukit Kiara), kita tidak berlatih dalam keadan penghawa dingin dibuka, jadi kita boleh menggunakan bulu tangkis dengan kelajuan berbeza,” kata Seu Bock.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11
`