Rabu,22 Oktober 2014

Buang kembar parasit

TIDAK ada apa perbezaan yang dapat dilihat pada Rishabh Ghimire dibandingkan kanak-kanak berusia setahun sepertinya ketika dia asyik berseronok bermain dengan dua abangnya.

Namun bila dilihat dari jarak dekat parut pada perutnya, ia akan memberi gambaran mengejutkan mengenai kehidupan kanak-kanak itu sebelum ini.


Rishabh dilahirkan dengan ketumbuhan besar pada perutnya.

Ia adalah sebahagian daripada kembar parasitnya, dengan dua tangan dan dua kaki tetapi tanpa kepala, hidup dengan bergantung pada bekalan darahnya dan secara perlahan-lahan menyebabkan kanak-kanak itu derita.


Mujur nyawa Rishabh dapat diselamatkan awal tahun ini, hasil pembedahan yang julung kali diadakan untuk kes seumpama itu.


Kisah kanak-kanak yang digelar Octoboy kerana memiliki lapan anggota itu mendapat tumpuan di Nepal, negara kelahirannya dan juga di India. Ada sebahagian masyarakat menganggap dia dewa Hindu.

Foto

KES LUAR BIASA... pembedahan terhadap Rishabh dilakukan di Hospital Kanak-Kanak Los Angeles.

Foto

PELIK... Rishabh sebelum dibedah, dimandikan bapanya di kampung mereka di Nepal.

Foto

Rishabh yang dilahirkan Januari tahun lalu antara 200,000 kanak-kanak yang lahirkan dengan kecacatan ganjil setiap tahun.


Ia berlaku apabila kembar mereka gagal berpisah di dalam rahim dan kembar parasit itu terus melekat pada bayi yang dilahirkan, menghisap darah dan tenaga pasangannya untuk kekal hidup.

Rishabh kesuntukan masa dan dia pasti mati jika tidak menjalani pembedahan segera.


Dalam satu dokumentari televisyen yang mengisahkan cerita menakjubkan itu, ibunya, Januka dilihat sukar mendukung anaknya dan ketumbuhan parasitnya sebelum pembedahan dilakukan.


“Dia adalah raja kecil saya tetapi dia tidak boleh makan dan sentiasa menangis. Dia begitu kurus dan selalu sakit. Kali pertama saya melihat Rishabh saya tidak tahu apa hendak saya dilakukan.


“Kami suami isteri bingung kerana tidak pernah mendengar atau melihat kanak-kanak dengan keadaan seperti itu sebelum ini. Ada penduduk kampung percaya Rishabh jelmaan dewa Hindu yang mempunyai banyak anggota tubuh.


“Ada juga jiran menggelar saya tukang sihir dan ibu kepada hantu yang hidup. Apabila orang bercakap hal yang buruk, tentu ia mengecewakan saya.


“Sebagai ibu, saya hanya dapat menangis di dalam hati. Saya berusaha tunjuk tabah, tetapi ia tetap mengganggu saya,” kata Januka.


Tanpa pembedahan, Rishabh berdepan kemungkinan mati kerana kembar parasitnya menyebabkan jantungnya terjejas.


Mujur, melalui badan kebajikan kanak-kanak, Mending Kids Internantional, tokoh pakar bedah kanak-kanak Amerika Syarikat, Dr James Stein bersetuju melakukan pembedahan itu di Hospital Kanak-Kanak Los Angeles.


Dokumentari itu, My Shocking Story: Octoboy, yang disiarkan menerusi rangkaian Discovery UK baru-baru ini turut menyiarkan kunjungan Dr Stein ke kediaman keluarga Ghimire di Nepal tahun lalu.


Sebelum pembedahan dilakukan, Dr Stein berkata: “Saya nekad melakukan pembedahan seumpama itu. Bagaimanapun, untuk melakukan pembedahan yang begitu rumit boleh dianggap sebagai mimpi yang menjadi kenyataan. Namun, banyak kesilapan mungkin terjadi ketika pembedahan.


“Keadaan Rishabh begitu tenat. Dia tidak membesar seperti sepatutnya dan ini adalah tanda pertama keadaannya semakin teruk dan memerlukan pembedahan.” Januka dan suaminya, Rishi, cemas ketika bersiap untuk perjalanan sejauh 12,800 kilometer dari Nepal ke California.


Mereka yang hidup miskin dan bergantung kepada hasil pertanian begitu bimbang untuk ke Amerika Syarikat.


“Kami tidak boleh bercakap bahasa mereka. Mereka tidak menggunakan tangan untuk makan. Kami tidak tahu bagaimana hendak berdepan suasana di negara itu.


“Saya tahu ia pembedahan besar. Saya bimbang jika ia gagal. Bagaimana kami akan pulang? Apa hendak saya beritahu kepada ibu bapa saya? Bagaimana saya akan menerima kenyataan? Ia benar-benar menakutkan saya. Saya hanya berdoa Rishabh akan pulih dan berjaya dalam hidupnya.” Pada awal pagi selepas tiba di California, Rishi dan Januka berbincang dengan Dr Stein mengenai pembedahan itu.


Di Nepal, hasil pengimbasan CAT mengesahkan kembar parasit itu tidak memiliki otak, jantung atau organ dalaman sendiri, kecuali hatinya yang bercantum dengan hati Rishabh.


Kakitangan hospital bertanya Rishi dan Januka mengenai perasaan mereka terhadap tubuh tidak bernyawa itu sebaik ia pisahkan daripada Rishabh kelak. Ia adiknya yang tidak menjadi tetapi kulit berlebihannya mungkin berguna untuk menutupi lukanya.


Rishi menjawab: Anda boleh gunakan apa saja yang diperlukan Rishabh. Yang lain tidak berguna bagi kami.” Januka juga berpendapat begitu. Katanya: “Saya mahukan dia normal dan menjadi manusia dihormati di kampung kami.” Keesokannya penuh dengan emosi apabila Rishabh dibawa masuk ke bilik pembedahan. Sebelum ini dia tidak pernah berada jauh dari sisi ibunya. Januka yang tidak dapat menahan perasaan pengsan selepas menangis sepuas-puasnya.


Pada jam 5 pagi, Dr Stein dan pasukan perubatannya yang membabitkan 10 orang, mula menjalankan pembedahan. Prosedur intensif itu mengambil masa lima jam.


Ia bermula dengan memotong belakang kembar parasit untuk melihat bahagian dalam perut Rishabh.


Dr Stein berkata: “Kami sudah mengkaji imej imbasan CAT tetapi selalunya pasti ada kejutan.


“Akan ada kelainan sedikit. Bayi kembar siam tidak mempunyai anatomi standard sepenuhnya. Ia adalah babak paling menarik, memikirkan apa hendak dilakukan dengan kejutan itu.” Saluran usus didapati tidak bercantum. Bagaimanapun, Dr Stein mengambil keputusan untuk membiarkan hati kembar parasit itu terus melekat dengan hati Rishabh.


Dalam keadaan kanak-kanak itu tidur lena, doktor menggunakan pena hitam untuk melukis bahagian yang akan dibuang.


“Kami melakukan pemeriksaan terakhir sebelum melakukan pembedahan. Bahagian paling besar kembar parasit itu sebenarnya hanya lapisan kulit yang boleh kami gunakan untuk menutup bahagian luka pada tubuh Rishabh.


“Bahagian atas, bahu dan lengan, kemudian dipisahkan daripada bahagian bawah, perut bersama-sama usus besar dan kaki,” kata Dr Stein.


Lima jam kemudian, Dr Stein meletakkan dua anggota tubuh yang dikeluarkan itu di atas meja pembedahan.


“Kami membuang sesuatu yang tidak patut berada di dalam tubuh kanak-kanak itu. Ia menggembirakan kami,” katanya.


Kedua-dua anggota tubuh yang dikeluarkan dari badan Rishabh kemudian dibawa keluar untuk kajian sementara Rishahb dihantar ke unit rawatan rapi.


Sepuluh hari kemudian, Januka dan Rishi menangis kegembiraan apabila bertemu buat kali terakhir dengan Dr Stein yang mengesahkan Rishabh sudah boleh pulang.


Bebas daripada kembar parasitnya, kanak-kanak itu mula merangkak untuk kali pertama.


Januka berkata: “Dia kelihatan gembira sekarang. Dia tidak berhenti bermain dan berjalan. Sebelum ini, untuk berdiri pun terlalu sukar baginya. Kini dia boleh memakai pakaian biasa dan tidak ada apa akan menyekatnya daripada membesar.” Dengan linangan air mata, Rishi mengucapkan terima kasih kepada Dr Stein yang membantu anaknya.


“Terima kasih banyak-banyak kerana bantuan anda. Anda memberi kehidupan baru kepada anak saya. Saya tidak akan melupakan masa saya di Amerika. Ia mengubah hidup kami dan Rishabh mempunyai kehidupan baru.”

Artikel ini disiarkan pada : 2010/11/27
`