Isnin,22 Disember 2014

Bantu yayasan kanser

Oleh Elrafaei Sapi

USAHA membantu golongan tidak bernasib baik seperti anak yatim dan pesakit yang ditimpa penyakit kronik adalah kerja amal yang sepatutnya diteruskan dari semasa ke semasa.

Apa yang perlu diberi perhatian, pembabitan artis yang menjadi idola pada masyarakat penting dalam menarik perhatian syarikat korporat dan individu untuk menyumbang bantuan.

Aktiviti murni ini dapat dilihat menerusi inisiatif Hotel Equatorial Kuala Lumpur menganjurkan Bobby Chen Piano Recital for Charity yang akan berlangsung di Grand Ballroom pada 24 Mac ini, jam 7 malam.

Menariknya, acara amal ini menyaksikan Bobby, pemain piano berpengalaman, dijemput mengadakan persembahan. Bagi mereka yang mengenali jejaka kelahiran Sandakan, Sarawak ini, pengalaman yang ditimba menerusi piano cukup meluas.


Bobby yang pernah mendapat Kepujian Kelas Pertama selepas menuntut selama empat tahun di Royal Academy of Music, United Kingdom (UK), turut dikenali sejak 1996 menerusi pembabitannya dalam pelbagai persembahan bertaraf dunia antaranya Orkestra Filharmonik Malaysia, Beijing Forbidden City Concert Hall, Dublin National Concert Hall, Singapore Victoria Concert Hall, USA Midland Centre of the Arts, Holland Hermitage Amsterdam, Poland Antonin Palace dan UK Purcell Room.


Bagi Bobby, persembahan kali ini dianggap acara istimewa kerana ia bertujuan amal dan sumbangan orang ramai yang menjayakannya akan dihulurkan kepada Yayasan Inisiatif Penyelidikan Kanser (Carif). Ini adalah persembahan kedua Bobby bersama penganjur selepas Jun dua tahun lalu.

“Acara ini penting mengajak orang ramai menyumbang pada kerja amal. Saya mengharapkan ramai pihak datang menyokong acara ini dan apa yang penting, ia menimbulkan kesedaran pada orang ramai mengenai kanser.

“Saya sendiri sangat teruja untuk berada di sini menghiburkan tetamu yang hadir dan jika mempunyai peluang, saya ingin membabitkan dalam acara amal ini lagi.

“Menerusi acara ini, saya juga berharap banyak sumbangan dapat dikumpul untuk membantu pesakit kanser,” katanya pada sidang media diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Secara peribadi, Bobby menyatakan perasaan bermain di negara sendiri berbeza dengan mengadakan persembahan di luar negara. Apa yang ketara, dia mengakui mempunyai ramai peminat tempatan tetapi terhutang budi kerana banyak belajar di UK sejak berhijrah ke sana pada usia 11 tahun.

Dalam pada itu, Bobby turut menghebahkan hasratnya mencungkil bakat baru dalam muzik piano apabila menganjurkan kursus di UK pada 15 sehingga 23 Di­sember nanti. Mencari pelajar terbaik dari seluruh dunia untuk mengikuti kursus ini, ia juga dikendalikan tenaga pengajar profesional dari Kanada, Russia dan Amerika Syarikat.

Bagi acara Bobby Chen Piano Recital for Charity, tiket dijual pada harga RM500 termasuk lima set hidangan makan malam. Untuk tempahan, mereka yang berminat boleh menghubungi 03-2161 7777 sambungan 8219 atau 8203.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/22
`