Selasa,23 Disember 2014

Bajet 2013 fokus kepada kemakmuran rakyat: Nor Mohamed

BUTTERWORTH: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata Bajet 2013 akan memberi tumpuan terhadap pengagihan kemakmuran rakyat dan kadar pertumbuhan ekonomi negara dalam menghadapi cabaran ekonomi untuk tempoh jangka pendek dan jangka panjang selain mengekalkan dasar fiskal sedia ada.

Beliau berkata tumpuan kepada dua aspek itu penting memandangkan ia merupakan asas bagi polisi ekonomi yang telah diamalkan sejak dahulu iaitu setelah Malaysia tidak lagi mewarisi prinsip pasaran bebas yang diperkenalkan oleh penjajah.

"Prinsip ekonomi pasaran bebas telah memberikan kesan sosial, jadi sejak dari tahun 70-an, Malaysia menggunakan falsafah baharu yang memberi tumpuan kepada kadar pertumbuhan ekonomi dan pada masa yang sama memberi fokus kepada keadilan sosial.

"Kita juga mempunyai dasar fiskal sendiri yang menjadi faktor kepada kehebatan Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan perpustakaan Sekolah Kebangsaan Telok Ayer Tawar di sini hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembentangan Bajet 2013 pada 28 Sept nanti, dan catatan purata pertumbuhan ekonomi Malaysia pada kadar 5.1 peratus bagi suku pertama dan 5.4 peratus untuk suku kedua 2012.


"Bagi kadar pertumbuhan ekonomi, kita memberi tumpuan terhadap kualiti pertumbuhan dan kuantiti pertumbuhan yang bertujuan mengekalkan kadar pertumbuhan yang tinggi dan hasilnya dapat diagihkan untuk dinikmati bersama oleh rakyat.

"Keadaan ini secara tidak langsung dapat mewujudkan keadilan sosial yang dapat memberikan kehidupan yang selesa kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) menyumbang RM150,000 untuk kos pengubahsuaian perpustakaan, kerusi meja dan penyediaan sebanyak 1,000 buku di sekolah tersebut.

Projek tanggungjawab sosial korporat PNMB ini bertujuan membaik pulih kemudahan perpustakaan sekolah yang telah siap sepenuhnya pada 15 Ogos lepas, selain pembangunan komuniti sekolah tersebut.

Kriteria pemilihan sekolah bagi projek itu ialah sekolah yang jauh dari bandar dan sukar memperoleh bantuan selain perpustakaan yang kurang bahan bacaan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/28
`