Khamis,23 Oktober 2014

Bahaya di taman permainan

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

SETIAP petang taman permainan yang kecil dan cuma ada beberapa peralatan itu riuh dengan ketawa dan jerit riang kanak-kanak. Jika dulu ramai juga ibu atau pembantu rumah duduk di bangku batu di tepi taman memerhatikan anak-anak bermain tetapi kini ada sesetengahnya melepaskan tanggungjawab berkenaan kepada anak yang lebih besar.

Kehadiran ibu bapa atau orang dewasa di taman permainan sebenarnya sangat penting bagi memastikan keselamatan kanak-kanak bukan saja di segi perlindungan daripada penculik (seperti yang berlaku satu ketika dulu) tetapi juga untuk mengelakkan mereka melakukan perkara yang boleh menyebabkan kecederaan.

Boleh dikatakan setiap taman perumahan mempunyai satu taman permainan walaupun kecil. Namun, menyediakan taman permainan saja tidak cukup kerana ia perlu diselenggara dengan baik supaya kemalangan atau kecederaan pengguna kecil dapat dielak.

Di Amerika Syarikat, dianggarkan 200,000 kanak- kanak berumur 14 tahun ke bawah dirawat di unit kecemasan akibat tercedera ketika bermain di taman permainan. Berdasarkan maklumat Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat (CPSC), pada 2001 sebanyak 190,000 kes kecederaan di taman permainan cukup serius sehingga memerlukan kanak-kanak dirawat di unit kecemasan.


Daripada jumlah ini, 45 peratus dikategorikan sebagai kecederaan serius seperti keretakan atau kepatahan tulang, tulang terkeluar atau tersasar daripada posisi asal dan ada juga yang terlalu teruk sehingga anggota cedera perlu dipotong.


Kira-kira 75 peratus kecederaan yang ada kaitan dengan peralatan berlaku di taman permainan awam. Ada yang melaporkan di kalangan kanak-kanak berumur di bawah empat tahun, kecederaan paling banyak berlaku apabila mereka bermain di blok memanjat dan papan gelungsur.

Bagi kanak-kanak berumur lima hingga 14 tahun, kecederaan paling tinggi dicatatkan di blok memanjat dan buaian. Fakta yang lebih menyedihkan, secara purata 15 hingga 20 kanak-kanak meninggal dunia ketika bermain di taman permainan. Dianggarkan 40 peratus kes kecederaan di taman permainan disebabkan kurang pengawasan orang dewasa.

Di negara kita, walaupun tiada maklumat terperinci kecederaan di taman permainan, tidak bermakna ia tidak berlaku, kata Perunding Pembedahan Ortopedik Hospital Columbia Asia, Dr Saiful Akhtar Shamsuddin.

Antara sebab berlaku kecederaan di taman permainan:

  • Terjatuh daripada peralatan permainan
  • Terlepas pegangan atau hilang keseimbangan
  • Terjatuh dengan tangan terdepa ke hadapan atau di atas siku
  • Keretakan tulang kering pada kaki
  • Tergelincir
  • Anggota badan tersepit di celah peralatan permainan
  • Pakaian tersepit atau tersangkut pada peralatan permainan
  • Terjatuh dan terhantuk pada peralatan permainan
  • Terjatuh akibat permukaan tanah yang tidak rata atau lantai rosak

    “Kecederaan di taman permainan sebenarnya boleh dielakkan. Ibu bapa, penjaga atau orang dewasa perlu menemani anak kanak-kanak setiap kali mereka keluar bermain dan inilah cara pencegahan kecederaan yang paling berkesan.

    “Jika anda menemani anak-anak bermain, janganlah sekadar duduk sambil melakukan perkara lain. Apa yang diperlukan ialah pemantauan aktif, maknanya mereka sentiasa memberi perhatian kepada pergerakan atau perlakuan bukan anak sendiri saja malah semua kanak-kanak.

    “Pada masa sama, penjaga juga perlu memastikan kanak-kanak ini bermain peralatan permainan yang bersesuaian dengan umur mereka. Selain itu lebih ramai orang dewasa menemani kanak-kanak bermain, lebih baik kerana jika ramai kanak-kanak pada satu masa, ada kalanya penjaga terlepas pandang aktiviti mereka,” katanya.

    Jika melihat kepada angka kecederaan yang berlaku di taman permainan di Amerika Syarikat, mungkin ada ibu bapa tidak lagi mahu membenarkan anak mereka bermain di luar.

    Namun, janganlah menjadinya alasan bagi menghalang anak anda berseronok dengan rakan mereka.

    Untuk mengurangkan risiko kecederaan ini, ada beberapa perkara yang anda boleh lakukan seperti:

  • Periksa keadaan taman dan peralatan permainan terlebih dulu sebelum membenarkan anak bermain
  • Pastikan peralatan permainan dalam keadaan baik
  • Peralatan permainan yang diperbuat daripada kayu mestilah licin, tidak merekah atau ada serpihan
  • Peralatan permainan daripada besi mestilah tidak berkarat
  • Jika ada najis haiwan, pastikan ia dibersihkan secepat mungkin.
  • Jika ada lubang, timbus lubang berkenaan dengan pasir sebelum membenarkan kanak-kanak bermain di situ.

    Beberapa perkara yang perlu diberi perhatian:
    a. Permukaan

  • Lihat jenis permukaan yang digunakan di taman permainan. Kebanyakan pemaju menggunakan lantai bergetah yang boleh menyerap hentakan dan mengurangkan risiko kecederaan jika terjatuh di atasnya. Keluasan lantai mestilah sekurang-kurangnya dua meter panjang dari sisi peralatan permainan.
  • Permukaan keras seperti konkrit atau simen tidak sesuai dijadikan lantai di bawah peralatan permainan.
  • Rumput dan tanah juga tidak sesuai kerana boleh menyerap kelembapan atau menakung air selepas hujan.

    b. Persekitaran
  • Lihat sama ada kawasan taman permainan itu berpagar
  • Terletak berhampiran jalan raya
  • Terletak berhampiran longkang. Jika ya, pastikan longkang mempunyai penutup konkrit atau besi
  • Berhampiran dengan tempat mengambil atau menurunkan penumpang (contohnya bagi kenderaan awam atau pekerja)

    c. Rekaan dan keselamatan
  • Adakah taman permainan dibina di atas kawasan yang lebih tinggi dan mempunyai halangan untuk sampai
  • Pastikan semua peralatan permainan diletakkan pada jarak yang selamat antara satu sama lain
  • Lebih baik jika melekatkan label menerangkan had umur yang sesuai untuk menggunakan peralatan permainan tertentu. Peralatan yang sesuai untuk kanak-kanak kecil seharusnya tidak digunakan oleh kanak-kanak lebih besar, dan sebaliknya
  • Jarak atau lubang pada peralatan permainan seharusnya tidak kurang daripada 1.5 sentimeter (3.5 inci) atau tidak melebihi empat sentimeter (sembilan inci) untuk mengelakkan kepala atau badan kanak-kanak tersepit.

    d. Ciri berbahaya
  • Jika ada bucu tajam atau bahagian yang berbelit
  • Celah yang boleh menyebabkan kepala atau anggota badan tersepit atau tersangkut
  • Wayar berselirat atau berjurai
  • Objek atau halangan yang boleh menyebabkan kanak-kanak terjatuh

    Panduan keselamatan
    “Ajar anak cara betul untuk menggunakan satu-satu alat permainan. Contohnya, tidak boleh berdiri ketika bermain buaian, jongkang- jongkit atau mendaki papan gelungsur kerana dia mungkin berlanggar dengan kanak-kanak lain yang sedang menggelungsur turun.

    “Nasihatkan anak supaya mereka tidak bermain secara kasar atau tolak-menolak. Jika bawa beg, letakkan ia jauh daripada peralatan permainan untuk mengurangkan risiko terjatuh.

    “Namun, paling penting ialah memakai kasut yang sesuai ketika bermain. Jangan sekali-kali berkaki ayam ketika berada di taman permainan agar tidak tertusuk objek tajam yang tersembunyi, khususnya di kawasan berumput,” katanya.

    Selain itu ibu bapa perlu menetapkan peraturan masa untuk bermain di luar khususnya di taman permainan. Jangan beri anak bermain ketika cuaca panas terik kerana mereka boleh mengalami masalah dehidrasi.

    Pada cuaca panas, ingatkan anak untuk mengusik peralatan permainan yang dibuat daripada besi dengan hujung jari terlebih dulu sebelum menggunakannya. Ini penting untuk mengelakkan kulit mereka ‘terbakar’ akibat terkena besi panas.

    Pastikan juga anak memakai seluar panjang, kemeja-T dan kasut ketika bermain di luar. Tanggalkan rantai, gelang atau elakkan memakai baju bertali yang memungkinkan ia tersangkut atau terselit di celah peralatan permainan.

    Sihat dan selamat
    Walaupun sudah acap kali disebut kepentingan aktiviti cergas kepada kanak-kanak tetapi ada juga ibu bapa yang keberatan melepaskan anak mereka bermain di luar kerana beranggapan ia tidak berfaedah.

    Pandangan ini perlu diubah kerana kajian menunjukkan bermain mempunyai banyak manfaat, termasuk penting untuk merangsang otak, menyelaras pergerakan fizikal (koordinasi pergerakan mata-tangan) dan daya ingatan.

    Bermain adalah cara belajar paling digemari kanak-kanak. Mereka lebih serius ‘belajar’ ketika bermain dan lebih mudah menerima ilmu jika ia disampaikan dengan cara atau melalui aktiviti menyeronokkan. Ini adalah cara terbaik untuk menyampaikan pendidikan tidak formal kepada kanak-kanak.

    Bermain sangat penting untuk perkembangan fizikal kanak-kanak. Ketika bermain, mereka bukan saja berasa seronok tetapi aktiviti yang memerlukan anak anda berlari, melompat, mendaki dan menuruni cerun kecil membantu membina otot kecil dan besar, menguatkan tulang, menguatkan paru-paru serta mempertingkatkan keseimbangan.

    Selain itu, ketika bermain, kanak-kanak belajar hubungan sosial yang merangkumi aspek bertolak ansur, berkongsi, bersabar dan mematuhi giliran - semuanya akan menggalakkannya berkomunikasi dengan lebih baik. Jika mereka disekat daripada bermain, proses pembelajaran untuk berjalan dan bercakap akan menjadi lebih lambat.

    Kajian mendapati kanak-kanak yang menghabiskan lebih banyak masa bermain di luar (dan jauh daripada televisyen dan komputer) mempunyai penglihatan lebih baik dan mempunyai kebarangkalian lebih rendah untuk mengalami masalah miopia atau rabun jauh iaitu tidak dapat melihat objek jauh dengan jelas.

    Apabila terbabit dengan aktiviti di luar rumah, cahaya matahari akan menyebabkan pupil (anak mata) mengecil bagi mengurangkan kemasukan cahaya ke dalam mata. Keadaan ini membuatkan mata bertindak balas dengan ‘memanjangkan’ titik fokus yang membolehkan imej dilihat lebih jelas. Titik fokus yang pendek (jatuh di depan retina) membuatkan seseorang mengalami rabun jauh.

    Ia juga mampu mengurangkan masalah kegemukan yang semakin meningkat di kalangan kanak-kanak di negara kita. Ia mendekatkan kanak-kanak dengan pelbagai penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, kolesterol tinggi dan strok.

    Aktiviti cergas boleh membantu meningkatkan prestasi akademik kanak-kanak kerana ia merangsang keyakinan dan daya tumpuan di dalam kelas.

    Untuk mengelakkan berlakunya dehidrasi, pastikan anak membawa botol air ke taman permainan. Sebaik anak balik, pastikan mereka mencuci tangan dengan sabun di bawah air mengalir. Lebih baik ibu atau bapa tolong gosokkan tangan mereka supaya dapat mengajar mereka cara betul untuk mencuci tangan.

    Jika ada kepala paip di luar rumah, suruh mereka cuci tangan dulu sebelum memasuki rumah dan menyentuh peralatan atau memegang adik beradik yang masih kecil. Jika tiada, mereka terus ke sinki atau bilik air.

    Tidak perlu menggunakan sabun antibakteria kerana sabun mandi biasa juga mampu membersihkan tangan dengan baik. Apa yang penting ialah tangan mesti dicuci dengan sabun dan gosok tapak, belakang tangan serta celah jari selama sekurang-kurangnya 20 saat sebelum dibilas dengan air.

    Artikel ini disiarkan pada : 2011/04/03
  • Artikel Lain

    `