Sabtu,25 Oktober 2014

Angkara peragut bermotosikal

Oleh Siti Fatimah Hassan

KOTA BHARU: “Walaupun motosikal sedang bergerak, peragut itu masih sempat menghulurkan tangan untuk mengambil beg tangan dalam raga motosikal menyebabkan motosikal ditunggang hilang kawalan lalu terjatuh,” kata Siti Esah Mohd Noor, 33, yang trauma selepas menjadi mangsa ragut dalam kejadian di Kampung Chepa, dekat sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Siti Esah bersama rakannya, Rokiah Salleh, 53, menunggang motosikal dari rumahnya di Pasir Tumboh ke Pengkalan Chepa.


Menurutnya, dia tidak menyangka peragut terbabit sanggup berbuat apa saja untuk melarikan beg tangannya.

Katanya, dia pada mulanya tidak sedar ketika dihampiri seorang lelaki hingga ternampak tangan yang mencapai begnya. “Saya tidak sedar ada seorang lelaki menunggang motosikal menghampiri sehingga tiba-tiba dia mencapai beg dalam raga motosikal.


“Saya tidak melawan kerana menunggang motosikal sebelum gagal mengawal lalu terjatuh. Akibatnya, saya luka teruk dan lebam di beberapa bahagian badan manakala rakan pula luka ringan,” katanya.


Terdahulu, Siti Esah menerima kunjungan Ketua Puteri Umno Kubang Kerian, Azlinda Alis yang melawat dan bertanya khabar.

Siti Esah berkata, walaupun cedera, dia bersyukur kerana berjaya mendapatkan semula beg tangannya yang mengandungi wang tunai RM300 dan sebuah telefon bimbit selepas peragut terbabit terbabas dan jatuh sebelum melarikan diri.


Sementara itu, Azlinda berkata, pihaknya kesal dengan kejadian ragut itu dan memohon polis mempertingkatkan rondaan di sekitar kawasan berkenaan.

“Saya juga memohon pondok polis bukan saja ditempatkan di kawasan bandar tetapi juga di kampung yang turut berlaku pelbagai jenayah termasuk ragut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/31
`