Ahad,26 Oktober 2014

Anak warisi bakat Datuk Shake

Oleh Georgie Joseph

Nama Datuk Shake bukan terlalu asing bagi peminat muzik 1980-an. Lagu dendangan Shake seperti Kau Bungaku, Lina, Umi dan Anugerah Dari Kegagalan kekal sebagai melodi ‘ever­green’ nyanyian beliau sejak me­rantau ke Perancis pada 1976.

Sejak itu, Shake sesekali akan pulang ke Malaysia dari Eropah mahupun kini Hollywood untuk menjayakan per­sembahan dan menziarahi keluarga­nya.

Kekal dengan imej rambut panjang dan seluar ketat, Shake, 63, sekali lagi pulang ke tanah air bagi menjayakan program hari raya.

Shake atau nama sebenar, Datuk Sheikh Abdullah Ahmad Bakhbereh mengakui dia akan terus menyanyi selagi diterima dan diberi kekuatan.

Foto

Foto


Beristerikan seorang wanita Perancis iaitu Datin Milena, Shake yang jelas sentiasa mengekalkan sikap merendah diri sejak dulu lagi walaupun dia tegas dalam memperjuang­kan prinsipnya. Malah dia sukakan cabaran dan nekad jika mahukan sesuatu.


“Permulaan karier saya dulu adalah satu kerja keras kerana saya bukan saja mengambil risiko merantau ke negara asing, malah terpaksa melalui pelbagai adaptasi termasuklah sanggup belajar bahasa asing.

“Bagaimanapun, usaha itu tidak pernah berhenti kerana sehingga sekarang saya masih belajar dan terus belajar. Semangat sebegini jarang saya lihat pada penyanyi baru kerana semuanya sudah ada di depan mata. Mereka tidak perlu lagi merantau jauh atau melalui tahap yang susah kerana ada yang sudah mampu menjadi artis hanya melalui Internet. Zaman sudah jauh berubah,” kata Shake.

Apa yang pasti, perjua­ngan anak jati Johor ini tiada tanda noktah kerana darah seninya itu diwarisi pula kepada dua anak bujangnya yang kacak, Nicholas dan Amaro. Mereka kini sudah mula menunjukkan bakat dalam bidang muzik.

Shake akui tidak pernah menghalang minat Nicholas dan Amaro yang begitu bersungguh-sungguh mengikut jejaknya dalam bidang seni, namun tidak mahu terlalu campur tangan dalam rencana seni mereka.

“Saya pun tak sang­ka mereka serius menjadi artis meskipun pada awalnya nampak juga kecenderungan mereka ke arah itu. Sekarang terbukti memang mereka ada ‘passion’ yang cukup besar untuk menjadi orang seni. Saya juga bang­ga apabila Amaro sudah bernaung di bawah label Universal Music Malaysia dan memilih untuk memulakan karier nyanyiannya di Malaysia,” kata Shake.


Konsert ubat rindu peminat

Sesudah pelan asal Shake tergendala gara-gara beberapa halangan yang tidak dijangka, Shake kini menunggu masa untuk melunaskan impian besar untuk peminatnya di Malaysia.

Mengikut peranca­ngan, dia akan menjayakan konsert jelajah di tujuh
negeri selepas Aidilfitri nanti.

Namun bagi memanaskan dulu suasana sebelum konsert itu dilaksanakan, Shake akan tampil dalam Konsert Pulanglah Raya Datuk Shake yang akan ke udara di Astro Prima (Saluran 105) pada 8 Ogos ini, jam 9 malam sempena lebaran.

“Konsert ini sangat istimewa bukan saja buat peminat setia saya, malah buat diri saya sendiri. Konsepnya benar-benar berbeza kali ini kerana ada penceritaan di sebalik rangkaian lagu yang saya nyanyikan.

“Beberapa elemen kejutan turut saya selitkan. Sebanyak 14 lagu saya persembahkan dan ia gabu­ngan lagu lama dan baru termasuklah juga sebuah lagu Perancis,” katanya.

Bakal beraya di Paris bersama keluarganya kali ini, Shake bagaimanapun mengakui cukup teruja untuk melunaskan siri jelajahnya yang dijadualkan berlangsung selepas Aidilfitri nanti.

“Pelan asal sebenar­nya lebih awal pada tahun ini namun saya terpaksa menangguhkan hasrat sementara memberi laluan kepada pilihan raya umum, baru-baru ini.

“Yang pasti, saya sudah menetapkan akan menjelajah tujuh negeri untuk konsert itu dan sudah berjumpa dengan Amy Search serta Man Kidal bagi membantu saya dalam konsert itu nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/07

Artikel Lain

`