Isnin,22 Disember 2014

Along dalang sindiket ekor

Oleh Yusmizal Dolah Aling

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak menolak kemungkinan sindiket nombor ekor yang dikesan menjadikan orang Melayu khususnya golongan berada sebagai sasaran terbaru didalangi kumpulan ceti haram atau along.

Kesimpulan itu dibuat berdasarkan aduan diterima PPIM mengaitkan beberapa kes seumpamanya dengan along yang dikesan cuba menawarkan pelbagai skim pinjaman ‘ala skim cepat kaya’ dengan orang Melayu menjadi sasaran.


Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak (gambar), berkata tindakan sindiket terbabit mengumpan mangsa dengan pelbagai tawaran termasuk mendapatkan khidmat sami Buddha kononnya mampu meramalkan dengan tepat setiap cabutan nombor ekor menunjukkan mereka melakukan apa saja untuk mendapatkan keuntungan ‘atas angin’.

“Sebelum ini, PPIM menerima aduan ahli dan orang ramai berhubung kewujudan sindiket terbabit. Taktik digunakan sama iaitu menipu mangsa yang kesempitan wang dengan mendakwa ada individu tertentu mampu mengubah nasib mereka.


“Kami tidak menolak kemungkinan mereka ini along berdasarkan fakta aduan mangsa yang tertipu dengan ‘kehebatan’ individu terbabit. Sama seperti penipuan pelaburan dan pinjaman wang secara haram, akhirnya mangsa mengetahui mereka terpedaya,” katanya, semalam.


Tunku Azwil berkata, pelbagai taktik digunakan sindiket terbabit untuk menipu mangsa termasuk menawarkan risalah mengenai wujud pakar ramalan nombor ekor terdiri daripada sami ataupun mereka yang didakwa bertaraf profesional dalam bidang berkaitan.

Menurutnya, selain menjadikan mereka yang berstatus VIP sebagai mangsa, kumpulan terbabit membuat panggilan secara rambang kepada mangsa menerusi maklumat diperoleh daripada daftar niaga dan maklumat telekomunikasi seseorang.


“Ada antara mangsa langsung tidak tahu mengenai pinjaman atau peraduan yang kononnya mereka sertai. Menerusi panggilan telefon itu, mereka akan diyakinkan hanya dengan membayar sedikit imbuhan kepada sami, masalah kewangan dapat diatasi secepat mungkin,” katanya. Harian Metro kelmarin melaporkan, sindiket nombor ekor menjadikan pemilik kereta dengan nombor pendaftaran eksklusif sebagai mangsa dengan tawaran memenangi cabutan bernilai jutaan ringgit.

Kumpulan terbabit juga menjadikan beberapa pasar raya besar terkemuka di Kuala Lumpur dan Selangor untuk mengedarkan risalah mengenai kewujudan sami Buddha yang didakwa dapat meramal nombor ekor dengan tepat.


Justeru, kata Tunku Azwil, PPIM menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dakwaan pihak tertentu yang hanya ingin mengaut keuntungan dengan cara sebegini.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/06/29
`