Ahad,26 Oktober 2014

Almy enggan jawab hubungan

Kuala Lumpur: “Tiada kata-kata dan tiada jawapan untuk pertanyaan itu kerana ia bukan urusan saya,” kata pelakon, Almy Nadia, 27, ketika ditanya sama ada akan menerima semula bekas kekasihnya, Fizz Fairuz, 34 sekiranya aktor itu mahu kembali kepadanya.

Almy berkata, sudah ramai yang bertanya kepadanya soalan itu, namun baginya, perkara lalu tidak perlu dipanjangkan.


“Jangan tanya saya lagi, kenapa mesti tanya soalan itu... bukan awak seorang saja bertanya, malah sudah ramai mengajukannya.

“Minta maaf, saya tiada jawapan kerana bukan saya memulakan kontroversi lalu,” katanya.


Menurut Almy, dia enggan menjawab pertanyaan mengenai kisah peribadi dan tidak pernah memberi harapan untuk Fizz kembali.


“Masalah mereka, biar mereka selesaikan dan ia tiada kena mengena dengan saya,” katanya.

Namun, Almy yang diajukan pertanyaan itu bagaimanapun menjawab dalam nada sedih seperti mengenangkan kisah lalu.


Fizz pada Rabu lalu dilaporkan mengakui memutuskan pertunangannya bersama Azlyn Massiela Mohd Nazar, 26, selepas mengetahui wanita itu isteri orang.

Aktor itu yang turut memohon maaf kepada Almy bagaimanapun tidak pernah memaklumkan sama ada akan kembali kepada bekas kekasihnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27

Artikel Lain

`