Khamis,23 Oktober 2014

30 terperangkap dalam terowong

Jayapura: Sebuah terowong dekat lombong di kawasan terpencil di timur Indonesia semalam runtuh dengan 30 pekerja berada di dalamnya, kata firma pengendali Amerika Syarikat dan polis.

Petugas penyelamat tidak tahu sama ada pekerja berkenaan hidup atau mati ekoran nahas di lombong Freeport-McMoRan’s Grasberg, satu daripada lombong emas dan tembaga terbesar di dunia yang terletak di kawasan pergunungan wilayah Papua.


Ia adalah masalah terbaru dihadapi lombong yang dilanda mogok terbesar pada 2011 itu yang melumpuhkan pengeluarannya. “Terowong di kawasan latihan bawah tanah runtuh, memerangkap sejumlah pekerja,” kata kenyataan daripada syarikat subsidiari Indonesia, Freeport.

“Kami tidak dapat mengesahkan bilangan mereka yang cedera atau terperangkap, mahupun terdapat sebarang kemalangan jiwa,” kata kenyataan itu.


Ketua polis tempatan, Jermias Rontini, berkata lebih 30 orang dipercayai berada dalam lombong ketika terowong itu runtuh.


“Pasukan penyelamat dan polis masih ada di luar terowong kerana bimbang mungkin terdapat runtuhan susulan atau gas beracun,” katanya.

Freeport berkata, operasi menyelamat di lombong itu “sukar dan mengambil masa untuk dilakukan”. Syarikat itu tidak mendedahkan kerakyatan mangsa yang terperangkap walaupun majoriti lebih 24,000 pekerja lombong itu adalah rakyat tempatan. Polis dan Freeport tidak memberitahu bagaimana kemalangan itu terjadi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14
`