Ahad,21 Disember 2014

PM pantau ESSZONE

Kuala Lumpur: Lima batalion pasukan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tambahan satu briged Pasukan Gerakan Am (PGA) akan ditempatkan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) yang diwujudkan.

Tindakan itu diambil PDRM bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan di Sabah bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan terhadap kemelut di Lahad Datu ketika ini.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pengwujudan ESSZONE dan penempatan semula penduduk membuktikan kerajaan cukup mengambil berat terhadap aspek keselamatan negara.

“Bagi tujuan itu lima batalion pasukan keselamatan termasuk angkatan tentera ditempatkan di ESSZONE dan polis menambah lagi satu briged PGA untuk ditempatkan di kawasan berkenaan.


“Tumpuan tidak hanya di kawasan tertentu saja, tetapi melihat secara menyeluruh. Saya setuju kita perlu melihat keselamatan Sabah secara keseluruhannya, rakyat Sabah dan negara kita dalam konteks keamanan.


“Polis sokongan di kawasan estet terutama di kawasan FELDA sedang dipertimbangkan dan unit bermotor bagi rondaan akan diperluaskan di Kota Kinabalu dan Sandakan,” katanya ketika ditemui selepas sambutan Hari Polis Ke-206 di sini, semalam.

Sambutan cukup bersejarah itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.


Sebelum itu, Hishammuddin turut menyampaikan sumbangan Koperasi Polis dan juga bayaran pampasan insurans kepada lapan balu pasukan dan anggota keselamatan yang terkorban dalam serangan pengganas di Lahad Datu.

Hishammuddin berkata, penubuhan ESSZONE yang bertujuan memastikan keselamatan rakyat terjamin akan dipantau sendiri Perdana Menteri.


Mengulas mengenai penempatan semula diumumkan Perdana Menteri, beliau berkata, ia tidak hanya terhad di kawasan tertentu saja, malah membabitkan semua kawasan termasuk bandar yang boleh mengundang kepada ancaman keselamatan.


Ditanya mengenai cadangan sama ada kerajaan akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), beliau berkata usaha kini lebih memberi tumpuan kepada usaha untuk mengembalikan keselamatan di kawasan itu terlebih dulu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/26

Artikel Lain

`