Selasa,25 November 2014

‘Nani beritahu sering kena buli di asrama’

Mersing: “Sejak tahun lalu, Nani kerap merayu supaya kami menukarkannya ke sekolah lain di Bekok, Segamat dengan alasan tidak tahan sering dibuli di asrama,” kata Tidai Abu Bakar, 36, ibu kepada Yohanani Jati, pelajar tingkatan dua yang ditemui mati di Sekolah Menengah Kebangsaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Nitar di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi itu, Yohanani atau mesra dengan panggilan Nani yang juga pengawas sekolah ditemui terbaring di kaki lima dipercayai tergelincir dari tingkat empat, bangunan empat tingkat sekolah berkenaan.


Tidai ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Mersing berkata, anak keempat daripada tujuh beradik itu sering meminta ditukarkan ke sekolah lain terutama di Bekok kerana mendakwa tidak tahan dibuli di asrama.

Malangnya, katanya, mereka tidak mampu berbuat demikian kerana jarak terlalu jauh dan memintanya bersabar.


“Kali terakhir bertemunya pada hujung minggu lalu dan seperti kebiasaan, Nani akan menyiapkan tugasan sekolah serta berehat di rumah kami di Perkampungan Orang Asli Tanah Abang, Ulu Sungai Endau.


“Kami tidak sangka kejadian ini berlaku. Nani seorang yang baik dan bijak malah memperoleh 4A1B pada peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Dia juga antara pelajar terbaik kategori Orang Asli daerah ini,” katanya.

Menurut Tidai, keluarga berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci dan mengenal pasti punca kejadian itu.


Bapa arwah, Jati Awang, 39, berkata, kali terakhir dia bertemu Nani ialah pada pagi semalam ketika menghantar pemacu jejari yang dimintanya di sekolah berkenaan.

“Nani meminta pemacu jejari itu beberapa hari lalu, namun saya hanya sempat menghantarnya pagi tadi (semalam).


“Bagaimanapun, pada jam 12 tengah hari, saya terkejut apabila menerima panggilan telefon memaklumkan kejadian dan bergegas ke sekolah untuk melihat apa yang berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/07
`