Rabu,22 Oktober 2014

‘Berbunuhan’ kerana Bunohan

Oleh Abie Abdullah

ASSALAMUALAIKUM! Biarpun masa putaran Bunohan di pawagam tamat tempoh tetapi masih ada orang kita terutama pemerhati filem tempatan yang memperkatakan hasil kerja Dain Iskandar Said ini. Bukan suatu yang luar biasa kerana Bunohan adalah karya besar dan berjiwa.

Secara kasarnya saya menyukai Bunohan dan saya nyatakan hal ini kepada Dain dan penerbitnya, Nandita Solomon. Pun begitu, tidak bermakna filem ini sempurna segalanya walaupun Dain sudah mencuba sedaya baik. Saya menerima ketidaksempurnaan itu dengan terbuka kerana sekurang-kurangnya pengarah filem Dukun ini sudahpun melakukan sesuatu untuk industri perfileman Malaysia.

Pasti ramai yang setuju dengan pandangan ini dan saya tidak menafikan penglihatan saya ini juga tidak dipersetujui yang lain. Lagipun cara kita melihat sesuatu itu berbeza, berdasarkan latar kehidupan masing-masing. Rambut sama hitam, hati lain-lain.

Seperti yang terjadi kepada pandangan yang diberikan oleh beberapa pihak terhadap Bunohan sehingga membangkitkan ketidaksedapan situasi industri kerana timbul (pada saya) pertelagahan peribadi di kalangan pengkritik. Kerana Bunohan, ada pengkritik yang ‘saling berbunuhan’. Namun seperti penerimaan saya terhadap Bunohan, begitu juga saya menerima semua kritikan - baik positif mahupun negatif.


Bunohan terus diperkatakan kerana ia filem yang berbaloi untuk diperkatakan termasuk oleh karyawan, pengkritik filem, wartawan malah orang politik. Mereka mengambil berat mengenai filem ini kerana nilainya. Kalau nilainya setahil kapas seperti kebanyakan karya komersial, saya rasa tidak ramai yang ingin menyertai ‘perdebatan’. Buang masa!


Dalam hal ini, karyawan Bunohan lebih bijak mendengar dan mengamati setiap ulasan tetapi lawaknya berlaku ‘tikam lidah’ di kalangan pemerhati. Bagus untuk mewujudkan kehidupan di dalam industri. Kalau pandangan seseorang itu disanggah oleh pihak yang lain, rasanya tidak perlulah bermasam muka. Buat malu saja! Janganlah jadi puak-puak macam orang politik hanya kerana fahaman berbeza. Tolonglah!

Industri memerlukan tukang kritik untuk membina karya yang lebih baik untuk masa akan datang. Tidak semestinya pengkritik politik akan menjadi Perdana Menteri atau wakil rakyat. Pengkritik sukan pun tidak menjadi ahli sukan yang baik, macam Datuk Rahim Razali atau Prof Khoo Kay Kim yang mengkritik bola sepak malah tidak pula mereka mewakili Malaysia dalam mana-mana olahraga, atau sekurang-kurangnya menggantikan Khairul Fahmi!

Walaupun wartawan hiburan tidak mempunyai latar pendidikan filem tetapi mengkritik filem, tidak semestinya mereka tahu buat filem seperti Dain atau Bade Haji Azmi. Perhatian yang diberikan mereka lebih penting di sini dan terimalah seadanya. Kiranya tidak setujui, lebih baik tidak dibalas daripada mencetus ‘perang’ di kalangan karyawan. Cukuplah!

Berbalik kepada Bunohan yang saya kira sudah mencetus polemik, yakni tahap yang lebih tinggi daripada kritikan. Dalam keadaan arus perdana memberi pujian terhadap filem ini, tiba-tiba terdapat kritikan bertentangan. Pastinya ada sebab. Seperti juga dalam ramai orang mengata pakai baju merah itu cantik tetapi 1/3 orang pula kata baju merah itu bodoh. Tentu ada sebab.

Tentulah sebagai langkah intelektual, jauhari lagi budiman seperti kumpulan wartawan perlu menyelidik dan menganalisis sebab berlakunya pertembungan pendapat ini dengan kembali memeriksa perkara yang menjadi polemik itu.

Dalam keadaan semua memuji, memberi pandangan positif atau pandangan yang berpihak kepadanya tetapi muncul juga seiring pandangan sebaliknya, tentulah mereka dapat melihat beberapa perkara yang bermasalah (pada mereka) yang lebih besar daripada positif tadi.

Seperti orang kata dalam dunia yang mengatakan i-Pad adalah tablet terbaik tetapi sedangkan dalam masa sama ada juga sebahagian yang mengatakan Galaxy Tab lebih bagus. Itu perspektif masing-masing yang tidak salah untuk mereka mengatakan begitu.

Sama juga pandangan kepada Bunohan, filem ini kononnya ada banyak perspekstif termasuk daripada kaca mata pengarah, kaca mata Mek Yah, kaca mata Ilham dan sebagainya. Sebagai pemerhati juga, saya menghormati cara kerja Dain dan perspektifnya. Mungkin orang yang tidak bersetuju dengan cara Dain itu, ada perspektif sendiri terhadap konsep sebuah filem.

Sikap melawan arus bukanlah pilihan yang menjadi ancaman tetapi ia memberi pilihan kemajukman dalam memperkayakan pandangan. Kalau elok terima saja, kalau tidak setuju dengan anginnya, lupakan saja. Bukankah kita berhak memberi pandangan?

Adalah lebih bagus, kalau tiada nawaitu untuk memperlagakan individu tertentu dalam usaha menegakkan benang basah kita semata-mata. Malah lebih buruk kalau nawaitu itu menjurus kepada usaha kecapaian populariti atau sekadar untuk menyokong kemungkinan kesilapan kita sebelum ini. Seharusnya menghargai pandangan pihak lain yang berasa terkait untuk memperkatakan topik yang sama, jelasnya mereka juga memberi perhatian kepada Bunohan.

Bukankah yang memberi pandangan terhadap Bunohan kerana bangga Malaysia mempunyai filem sebegini selepas buat pertama kalinya di sepanjang period 2000-2012 menjadi filem yang diberikan kritikan oleh setiap pihak yang saya sebut tadi?

Wassalam!


Ikuti saya di twitter (abie_abdullah) dan facebook (abie abdullah)

Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/23
`