Selasa,23 Disember 2014

Tiub fallopio kiri tersumbat

SAYA berusia 28 tahun dan menjalani rawatan kesuburan di hospital. Masalahnya, doktor ada memberitahu tiub fallopio kiri saya tersumbat dan tiub kanan dalam keadaan baik.


Selepas mengambil clomid atas arahan doktor, telur pada tiub kiri memberikan tindak balas, tetapi telur pada tiub kanan tidak bertindak balas. Doktor meminta saya mencuba secara semula jadi pada bulan ini dan melihat hasilnya sama ada saya hamil atau tidak pada bulan berikutnya.


Bagaimana saya boleh hamil sedangkan tiub kiri saya tersumbat dan semestinya sperma suami saya tidak boleh mencapai ovum saya? Harap doktor dapat memberi penjelasan. Saya sebenarnya terdesak ingin bergelar ibu selepas berkahwin selama enam tahun.

AYUNI
Shah Alam, Selangor




ANDA tidak jelaskan kaedah ujian terhadap tiub fallopio yang dijalani. Tiub fallopio perlu elok daripada dua faktor utama:

- Rupa bentuknya normal dan teratur, tidak melekat-lekat atau berbonggol dan jejari fimbrianya pula elok. Besar kemungkinan, fungsi dalamannya juga normal.

- Apabila diuji dengan ujian cecair, cecair ini dapat melalui ruang di dalam tiub ini dengan lancar tanpa tersekat-sekat.

Kaedah sinaran-X (lebih dikenali sebagai histero-salpingo-gram atau HSG) hanya dapat menguji laluan ruang dalam tiub (dan rahim) saja. Kaedah laparoskopi dapat melihat secara langsung keadaan luaran tiub ini dan rupa jejari fimbrianya.

Sekiranya tiub fallopio kanan anda berfungsi elok, peluang anda hamil daripada sebelah kanan masih ada. Pengambilan ubat kesuburan dapat membantu agar satu atau lebih telur matang dihasilkan daripada ovari kanan pada bulan terbabit.

Dengan kaedah semula jadi tanpa rangsangan ubat kesuburan, anda terpaksa menunggu peluang 50 peratus hanya jika telur matang dihasilkan daripada sebelah kanan.

Untuk makluman anda, tiada aturan atau giliran sebelah mana akan berlakunya ovulasi. Ia boleh berlaku daripada sebelah kiri setiap bulan berturut-turut.

Dengan usia perkahwinan anda enam tahun dan status tiub fallopio anda, saya cadangkan anda menjalani pemeriksaan secara laparoskopi (jika belum) untuk mengetahui keadaan tiub fallopio anda secara menyeluruh.

Pada masa sama, punca tiub fallopio kiri anda tersumbat mungkin dapat diketahui dan dirawat pada masa yang sama. Sekiranya tiub kanan anda berfungsi elok, anda boleh mencuba kaedah ubat kesuburan untuk merangsang telur pada ovari kanan (dan juga ovari kiri walaupun tidak digunakan).

Kemudian, anda boleh memilih untuk menjalani teknik permanian berhadas (IUI) untuk meningkatkan peluang kehamilan. Walaupun jika suami sudah menjalani ujian air mani dan didapati normal, IUI dan pengambilan ubat kesuburan akan tambah meningkatkan lagi peluang kehamilan anda.

Jika tiub kanan anda juga rosak dan tersumbat sepenuhnya, hanya teknik persenyawaan tabung uji (IVF) dapat membantu dan teknik lain tidak sesuai.

Jika tiub fallopio kanan didapati tidak sempurna fungsinya, peluang kehamilan tanpa IVF adalah rendah, malah jika hamil, anda mempunyai lebih risiko kehamilan luar rahim (ektopik).

Artikel ini disiarkan pada : 2010/10/18
`