AFP

PEMAIN gantian Mason Greenwood menyelamatkan Manchester United daripada kekalahan memalukan selepas jaringan lewat permainan pemain remaja itu memastikan keputusan seri 1-1 menentang Everton, malam tadi.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer ketinggalan kepada gol kontroversi yang dijaringkan sendiri oleh Victor Lindelof pada separuh masa pertama selepas rayuan United membabitkan kekasaran dilakukan terhadap David de Gea tidak diendahkan oleh VAR.

Bagaimanapun pemain muda itu yang masuk pada babak kedua membuat jaringan melegakan Red Devils ketika perlawanan berbaki 13 minit untuk ditamatkan.

Pemain berusia 18 tahun itu adalah pemain ketiga termuda dalam sejarah saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) menjaringkan gol di Old Trafford selepas bekas penyerang United, Federico Macheda dan Danny Welbeck.

Greenwood, pemain kelahiran Bradford dan pemain akademi United sudah menjaringkan tujuh gol pada musim pertamanya selepas meledak dua gol dalam penampilan sebelum ini menentang Alkmaar dalam Liga Europa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 12:48 AM