Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


SELANGOR tidak mahu lagi meletakkan sasaran dalam liga tempatan atau sekadar jaguh kampung apabila lebih bercita-cita besar untuk beraksi di pertandingan peringkat Asia 2021 bagi kempen Liga Malaysia (Liga M) 2020.

Walaupun dilihat sasaran itu agak sukar untuk direalisasikan, namun Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) optimis ia mampu dilakukan berdasarkan kehadiran beberapa pemain berkualiti antaranya Brendan Gan, Safuwan Baharuddin dan Nick Swirad.

Setiausaha Agungnya Dr Johan Kamal Hamidon menegaskan pengurusan sentiasa berkongsi aspirasi sama dengan penyokong yang mana mereka turut mahukan pasukan Selangor terus maju ke hadapan dan mencipta lebih banyak kejayaan.

TENGKU Amir Shah (tengah) beramah mesra bersama penyokong Red Giants di Stadium Shah Alam. FOTO Bernama

“Penyokong sentiasa memberi jangkaan tinggi tapi kami menyahut cabaran ini. Kalau penyokong laparkan kejayaan, kami juga mahukan perkara sama.

“Selepas setahun lebih bersama pengurusan, kami sudah mengenal pasti kelemahan musim ini dan kami melakukan yang terbaik untuk menampung kekurangan yang ada.

“Sasaran kami adalah layak ke saingan peringkat Asia bagi musim 2021 dan apa jua sasarannya, sudah tentu kami perlu menjayakannya,” katanya ketika ditemui pada Hari Bolasepak Selangor di Stadium Shah Alam, hari ini.

TENGKU Amir Shah (tengah) bergambar bersama barisan pemain dan pengawai pasukan sempena Hari Bolasepak Selangor di Stadium Shah Alam, hari ini. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 8:00 PM